December 4, 2015

Tribute buat Si Beg Merah

Hari ini ada rasa sedikit sayu.

Mungkin bukan sayu, namun lebih kepada rasa melankolik, iaitu rasa 'terkenang-kenang pada barang yang sudah tidak ada'.

Barang yang menyimpan memori kembara sejak sembilan tahun lalu.

Ada rasa berat mahu melepaskan, namun kadangkala melepaskan itulah yang lebih baik.

Baiklah, sebenarnya barang yang tidak ada itu, bagpack sahaja.

Bagpack teman setia seorang pengembara

Tiada apa yang istimewa pun dengan bagpack ini. Lusuh dan plastik di dalamnya pun sudah melekit-lekit. Setiap kali mahu guna pun, hamba jadi syak wasangka. Was-was adakah lekitan itu akan berpindah ke pakaian hamba.

Namun, beg inilah yang hamba dan Kuzai (teman terbaik hamba) beli bersama-sama saat pertama kali melaporkan diri di tempat kerja. Kedai beg yang kami berdua pergi itu pun sudah tidak wujud lagi.

(Ketara benar antiknya beg ini, bukan?)

Beg itu juga hamba dan Kuzai bawa ketika program induksi selama dua bulan. Itu pengalaman pertama hamba bawa bagpack. Masih terkial-kial mengendong beg besar yang tidak berapa besar itu.

Kemudian, beg itu jugalah yang menemani hamba dan Kuzai saat kami bagpacking berdua ke Perancis, Switzerland dan Sepanyol sebelum teman hamba itu melangsungkan perkahwinan.

Paling lejen pengalaman bersama beg ini adalah ketika kami terpaksa ber"kampung" 4 jam di dalam lif parking di Switzerland, dalam cuaca suhu 1 darjah di luar, gara-gara lapangan terbang dikunci :)

(Siapalah sangka kesemua pintu ke lapangan terbang akan dikunci selepas jam 12 malam? Ceh.. )

Dan kali terakhir membawa si dia tatkala hamba ke Jepun bersama Gee, November tahun lalu. Bersama-sama si dia selama 18 hari di Jepun itu, tidak pernah sekali pun si dia mengecewakan hamba.

Posing terakhir bersama beg ini

Selamat tinggal wahai beg merah Deuter Gobi 35 + 10 L, dan selamat datang wahai beg baru, Si Deuter Oren Act Lite 35 + 10 L.

Maafkan hamba ya, wahai beg merah.

Promosi kempen lupakan barang imitasi dan beli beg original dengan harga diskaun 30% itu sungguh menggugah rasa.

Waida Yusof,
4 Februari 2015
KL

PS: Kejam pula rasanya diri ini apabila difikirkan semula. Oh ya, sebenarnya, semuanya terjadi pada hari Selasa lepas, cuma rasa mahu menulis itu datang hari ini.

PSS: Tidur lewat semata-mata mahu menulis tentang beg, itu sudah tentu something bukan?

PSSS: Rindu pula mahu menulis di sini dengan lebih kerap. Bertabahlah wahai cik blog, sehingga hamba siap menyiapkan manuskrip BBKK Matt (nama baru Mat Biru) nombor dua dan tiga.

November 8, 2015

Kurang RM 5 Ribu Jalan-Jalan 18 Hari Di Jepun (Bahagian 2)

Saya tidak boleh lupa riak wajah hampir semua tuan rumah hostel yang kami menginap di Jepun setiap kali diberi peluang bertanya soalan.

Semuanya berwajah pelik apabila soalan pertama kami adalah "Di mana pasar?"

Sayur-sayuran Segar di Nara
Kredit Foto: Gee

Dan, tujuan utama kepada persoalan inilah sambungan kepada sembilan cara pertama kami mampu jalan-jalan 18 hari di Jepun dengan dana kurang RM 5 ribu.

10 - Masak Makanan Sendiri (Pagi & Malam)

Pagi kami di Jepun bermula dengan sarapan ringkas roti, telur hancur (scramble egg), pisang dan susu. Sekali sekala saya ada membeli yogurt di kedai dan campurkan pisang yang sudah dipotong kecil-kecil ke dalamnya. Apabila ada nasi lebihan semalam, kami goreng nasi itu dahulu sebagai bekalan tengahari. 

Makan maggi pun sedap juga jika dimakan panas-panas

11 - Beli Bahan Mentah di Pasar

Barang wajib beli kami di Jepun adalah buah-buahan, beras, sayur-sayuran, telur, ikan, dan ada juga ikan bilis. Kesemua bahan-bahan mentah ini, kami beli di pasar, atau jika terdesak, di kedai serbanika seperti FamilyMart, Lawson atau 7 Eleven

Harga barang di pasar lebih murah berbanding di kedai serbanika. Namun, apa yang saya suka tentang kedai serbanika di Jepun, mudah berjumpa barang mentah dalam saiz mini. Misalnya, kita boleh membeli satu pek yang berisi 4 biji telur sahaja, berbanding sedozen telur seperti biasa. Beras saiz mini (1 kg) juga kami pernah beli di kedai FamilyMart.

12 - Makan Tengahari di Kedai, Bukan Malam

Di lapangan terbang Osaka, harga semangkuk udon (mi Jepun) lebih kurang 600 yen (= RM21).

Di sebuah kedai makanan India halal di Kyoto pula, satu set makanan (roti nan, sayur dalca/kari, ayam tandoori & air) boleh mencecah 2000 yen (= RM71) sekali hadap.

Roti Nan di Gunung Fuji
Kredit Foto: Gee

Di sebuah hotel yang menawarkan set makan malam halal Jepun yang autentik (lengkap dengan sushi), mudah sahaja kita berjumpa satu set makanan dengan harga 11,000 yen (= RM390).

Ya, memang mahal andai difikirkan tukaran harga yen ini kepada ringgit Malaysia.

Lalu, kami guna pakai tips no 10 bagi mengurangkan kos. Namun, sekali sekala kami tidak terasa mahu masak dan mahu makan di kedai di Jepun. Apa kami buat adalah makan di kedai pada waktu tengahari. Kedai yang kami jumpa di Osaka menawarkan set makan tengahari yang lebih murah berbanding set makan malam. 

13 - Tidur Di Atas Futon (Tilam Jepun) di Hostel

Selama 18 hari di 8 tempat, kami menginap di 8 hostel berbeza dan kos penginapan secara purata adalah 3000 yen (= RM106 ) semalam. 

Hostel dengan gaya Jepun. Dinding kertas, tilam Futon dan tikar Tatami
Kredit Foto: Gee

Harga ini adalah harga untuk satu katil (atau satu tilam), dan bukan satu bilik. Oh ya, di Jepun ada dua jenis katil yang biasa disediakan. Katil yang pertama adalah tilam Jepun, iaitu futon dan biliknya dipasang dengan tikar tatami. Katil jenis yang kedua diletakkan dengan katil normal seperti di Malaysia dan ambillah jenis yang pertama kerana harganya lebih murah.

Katil kayu unik di Kazami Guesthouse di Ise
Kredit Foto: Gee

14 - Tempah Bilik di Hostel Yang Baru Dibuka

Di Hakone, kami menginap di sebuah hostel yang baru dibuka, Hakone Tent. Hostel ini baru dibuka 4 bulan sebelum kami datang. Pada waktu itu, laman web pun belum betul-betul siap, hanya ada sedikit gambar dan emel. Saya pun sudah terlupa bagaimana kami terjumpa hostel ini ketika mencari secara online. Jadi, saya emel mereka dan bertanyakan kos penginapan semalam. 

Hostel baru biasanya menawarkan harga diskaun (saya pernah dapat ketika tinggal di Singapura) supaya ada yang tertarik mahu mencuba. Kelebihan tinggal di hostel baru, servis dari pemilik hostel tip top dan barang-barang di hostel masih dalam keadaan baik dan terjaga. 

15 - Bina Hubungan Baik dan Berhubung Terus dengan Pemilik Hostel

Biarpun ada Agoda atau Booking.com, saya tetap suka hantar emel terus kepada pemilik hostel. Pemilik hostel kecil-kecilan lebih suka kita berhubung terus dengan mereka tanpa orang tengah. Urusan tempahan juga lebih mudah, dan kita dapat mengagak bagaimana sikap pemilik hostel, adakah mesra atau tidak melalui emel yang dikirimkan. Mudah juga mengagak bagaimana penguasaan bahasa Inggeris mereka. Jadi, tinggal di hostel akan menjadi sebuah pengalaman menyenangkan dan selesa.

Kazami Guest House di Ise, hostel yang unik
Kredit Foto: Gee

Andai ada rezeki, kita mungkin mendapat diskaun terutamanya selepas menjadi pelanggan berulang seperti tawaran yang saya dapat ketika mahu ke Shanghai buat kali kedua.

16 - Cari Pakej Untuk Pelancong

Bertanya soalan kepada pegawai di Pusat Sehenti Untuk Pelancong Luar dan Tempatan
Kredit Foto: Gee

Amalkan pergi ke "Tourist Information Center" dan tanya adakah pakej yang menarik untuk pelancong. Minta pendapat pegawai di situ, apakah pakej lawatan tempat-tempat menarik yang sesuai dengan masa yang kita ada. Boleh juga bertanya kepada pemilik hostel kerana kadangkala mereka akan terima kad-kad baucer dari syarikat agensi pelancongan.

Misalnya di Osaka, ada Osaka 1 or 2-Day Pass yang membolehkan kita melawat tempat-tempat menarik sekitar Osaka dengan harga diskaun. Pembelian pass ini juga membolehkan kita menaiki beberapa laluan subway di Osaka secara percuma. Apa yang penting, baca maklumat tentang pass ini dengan lengkap.

17 - Membeli-belah Buah Tangan di Kedai 100 Yen

Cara mudah untuk jimat adalah tidak membeli belah langsung :)

Namun, andai mahu mencari buah tangan juga untuk orang-orang tersayang, belilah barang-barang berciri Jepun di kedai 100 Yen seperti chopstik comel, poskad comel, buku tulis, bekas bento, teko Jepun dan lain-lain lagi. 

18 - Pergi Ke Tempat Pelancongan Yang Percuma

Cari tempat yang tidak memerlukan kos atau hanya kos minima ketika melawat. Tempat-tempat begini sememangnya ada, antaranya,

Bermain-main dengan rusa di Nara = 0 yen.

Di Nara, rusa dibiarkan secara bebas di taman. Ada sahaja rusa melintas jalan di sini
Kredit Foto: Gee
Melawat istana Kyoto = 0 yen.

Dari pintu hadapan istana Kyoto
Kredit Foto: Gee

Melawat ladang Wasabi Daoi di Azumino = 0 yen.

Batas-batas wasabi yang ditanam di dalam sungai yang mengalir
Kredit Foto: Gee

Bermain-main di tengah-tengah sungai di Kyoto = 0 yen.

Kredit Foto: Gee

Melawat tokong-tokong yang banyak di Jepun = 0 yen.

Tokong di Ise
Kredit Foto: Gee

19 - Kerja Sukarela di Hostel atau di Ladang

Tip tambahan namun kami tidak buat adalah bekerja secara sukarela di hostel. Ini dibuat oleh teman sebilik kami ketika menginap di Matsumoto Backpackers. Dia dapat tinggal di situ secara percuma asalkan pada siang hari, dia membantu Brian mengemas bilik tidur, menyapu laman rumah, dan mencuci bilik air.

Kata Brian, pemilik hostel Matsumoto Backpackers, "Sebenarnya ini pertama kali saya buka peluang untuk orang luar membantu saya walaupun selalu ada yang bertanya. Sebabnya, isteri saya sedang sarat mengandung. Jika tidak, saya dan isteri sahaja yang melakukan tugas-tugas di hostel ini."

Perkara ini juga diamalkan seorang wanita dari Hong Kong saat kami bertemu dia di Hida-Takayama, sebuah destinasi Jepun di Gifu Prefecture yang terkenal dengan daging Hida.

Lalu, jangan segan dan tanya kepada pemilik hostel adakah mereka memerlukan tenaga sukarela secara percuma. 

Apa yang penting, biar apa cara kita ke Jepun, asalkan kita menikmati sepuas-puasnya perjalanan kita, seperti kami.

Waida dan Gee menikmati teh Jepun.
Kredit Foto: Gee

Waida Yusof,
8 November 2015
KL

October 29, 2015

Bagaimana Jalan-jalan 18 Hari di Jepun dengan Kurang RM5,000 (Bahagian 1)

"Waida, betul-betul setahun yang lalu kita berada di Jepun sekarang."

Ketika menaiki keretapi syarikat Kintetsu dari Nara ke Ise
Kredit Foto: Gee

Ini semua salah fungsi "On This Day" di Facebook :P

Buat saya dan Gee rindu dan terbayang-bayang kejernihan biru sungai dan biru langit ranah Jepun ini, serta terkenang-kenang susah payah orang tempatan menunjukkan jalan kepada kami yang sering kesesatan.

Sungai yang ditemui ketika berjalan kaki ke Wasabi Farm
Kredit Foto: Gee

Mereka benar-benar menunjukkan jalan, iaitu membawa kita bersama-sama ke tempat yang mahu dituju! (Bukan sekadar bercerita sambil mengawang-gawangkan tangan menunjukkan tempat yang entah di mana dari jauh. Memang buat saya malu dan kagum dengan hospitaliti mereka.)

18 hari berkelana di Jepun itu bermula dari Lapangan Terbang Osaka, kemudian ke Nara, Ise, Hakone, Matsumoto, Takayama, Kanazawa, Kyoto dan akhirnya kembali semula ke Osaka. 

Peta jalan-jalan sendiri ke Jepun selama 18 hari

8 ranah dituju dalam masa 18 hari dengan dana kurang RM5 ribu.

Sebetulnya, begini pecahan kos perjalanan ini.

Tiket kapal terbang = RM762.50
Pengangkutan (selain kapal terbang) = RM1,275.83
Tempat tinggal = RM1,523.03
Internet = RM253.96
Makanan = RM1k

Jumlah = RM4,815.33

Lalu, bagaimana kami melakukannya?

1 - Beli Tiket Kapal Terbang Waktu Promosi 

Untuk perjalanan ke Jepun ini, kami beli tiket setahun lebih awal sewaktu promosi Air Asia yang bertemakan 'seat percuma' itu. Tidak, kami tidak tunggu bersengkang mata awal pagi menghadap komputer untuk tiket percuma itu. Memadailah menjadi antara orang yang pertengahan-awal untuk membeli tiket.

2 - Beli Tiket Pergi dan Balik Bukan Hari Sabtu, Ahad atau Cuti Sekolah

Kami memilih hari Jumaat, 17 Oktober untuk ke Osaka dan pulang ke tanahair pada hari Selasa, 4 Nov. Hari-hari yang kami pilih itu bukan hari biasa untuk orang terbang dan mendarat, iaitu pada hari Sabtu dan Ahad.

3 - Rancang Awal Pembelian Bagasi Kabin & Kongsi dengan Kawan

Selain itu, bagi menjimatkan kos, hanya seorang dari kami membeli bagasi kabin 20kg untuk perjalanan dari Kuala Lumpur ke Osaka. Selebihnya, kami hanya bawa beg belakang bawah 7kg. Kemudian, kami beli bagasi kabin 20kg setiap orang untuk perjalanan pulang dari Osaka ke Kuala Lumpur.

Pemandangan di sekitar Japanese Alps
Kredit Foto: Gee

4 - Beli Awal Makanan dalam Kapal Terbang (jika perlu)

Oh ya, harga tiket itu juga termasuk makanan dalam kapal terbang untuk perjalanan KL - Osaka buat bekalan sarapan pagi sebaik tiba jam 8.25 pagi. Jadi, jimat duit yen kami dari membeli makanan di lapangan terbang pula. RM12 masih mampu milik berbanding semangkuk Udon berharga 600 yen (= RM21)

5 - Rancang Perjalanan Super Awal 

Tiket sudah dibeli, jadi masa merancang laluan perjalanan pula! Kebiasaannya, saya merancang laluan paling lambat 6 bulan sebelum pergi. Sebabnya, tempat tinggal murah dan best (reviu bagus) sudah ditempah orang seawal 3 bulan. 

6 - Pilih Laluan & Bandar yang Berdekatan dengan Tempat Kita Tiba & Balik

Kos paling besar selain tiket adalah pengangkutan dari satu tempat ke tempat seterusnya dalam itinerari. Pilih tempat yang jaraknya paling jauh sekitar 4 ke 5 jam perjalanan (rujuk Google Map) sahaja sehala dari tempat sebelumnya. Kemudian, buat laluan yang mendekatkan kita ke ke lapangan terbang yang kita akan pulang. (Lihat laluan pada peta yang saya kongsikan di atas. Ia membentuk satu bulatan).

7 - Pilih Laluan & Bandar yang Menyediakan Pengangkutan Awam (Bas atau Keretapi)

Suasana tipikal stesen keretapi di Jepun
Kredit Foto: Gee

Apabila jarak maksima adalah 4 ke 5 jam perjalanan, kos pengangkutannya akan masih mampu milik, dan carilah laluan perjalanan yang mempunyai perkhidmatan bas ekspres atau keretapi biasa / henti-henti (seperti keretapi antarabandar KTM atau komuter). Bukan keretapi yang perlu ditempah tempat duduknya (seperti ETS atau ERL) atau bullet train.

Antara syarikat bas yang menawarkan tiket tempahan online adalah Willer Bus Express.

8 - Beli Pas Keretapi dan Maksimakan Penggunaannya

Kami bermula dari Lapangan Terbang Osaka, dan syarikat keretapi yang popular dan luas "jajahan" di pulau Kansai (di mana Osaka terletak) adalah syarikat Kintetsu. Mereka menyediakan pas "Kintetsu Rail Pass Wide" berharga 5,860 yen (= RM208.57), jadi kami maksimakan penggunaan pas ini dengan melawat bandar-bandar di pulau Kansai. 

Pas yang sama, kami gunakan untuk perjalanan menggunakan keretapi antara bandar dari Osaka Namba ke Nara (1 trip) dan Nara ke Ise (1 trip) dan Ise ke Nagoya (1 trip). Jadi, baca betul-betul maklumat yang disediakan pada pas yang kita beli dan maksimakannya!

9 - Jalan Kaki Banyak-banyak / Naik Bas / Kayuh Basikal Ketika Jalan-jalan dalam Bandar

Notis untuk penyewa hostel seperti kami di Nara
Kredit Foto: Gee

Secara purata,
Kos berjalan kaki = percuma
Kos sewa basikal = 500 - 700 yen sehari
Kos naik bas henti-henti = paling mahal & jauh seingat saya tidak lebih dari 2,400 yen sehala.

Sebenarnya, kami banyak naik bas dan menyewa basikal seperti orang tempatan walaupun tidak tahu langsung berbahasa Jepun. Paling dahsyat pun, kami berjalan kaki sejam lebih ketika mencari masjid di Kanazawa. Kemudian, kami angkat bendera putih dengan mencari bas untuk pulang ke hostel dari masjid di Kanazawa itu.

Ketika di Kyoto, tenaga kami pun kalah kepada seorang nenek tua berumur 60 tahun dari Perancis yang menjadi rakan sebilik kami. Beliau berjalan berkilo-kilo meter (rasanya lebih daripada 10km atau mungkin juga 20km) seharian ketika melawat semua (ya, semua) tempat-tempat menarik di kota Kyoto.

Apabila saya bertanya, katanya beliau memang langsung tidak naik bas atau basikal hari itu.

Jadi, kesimpulan saya pada hari itu selepas bertanya nenek tua ini, banyakkan berjalan kaki seperti gaya orang tempatan jika mahu jimat. 

Nanti saya sambung bahagian 2 pula.

Waida Yusof,
28 Oktober 2015
KL

September 6, 2015

Travelog Gadis Backpackers

Selepas pulang dari Miri selepas tinggal di sana 3 bulan, saya bersetuju dengan kata-kata yang saya pernah dengar ini.

Kata-kata itu berbunyi seperti begini,

"Kembara ke tempat baru itu bukan hal yang rumit. Hal yang lebih rumit itu, mahu menyesuaikan kembali diri di tempat asal kita selepas pulang kembali."

Sungguh.

Menyesuaikan diri di Miri itu hanya dalam masa 2 minggu.

Namun, menyesuaikan diri semula di KL itu memakan masa 3 bulan. (Itulah sebabnya saya diam sahaja selama ini heheh.)

Baiklah, azam saya selepas ini mahu menyambung semula penulisan di sini.



Ini gambar ketika berkunjung ke Kanada setahun yang lalu. Betul-betul genap setahun. 

#throwback

Waida Yusof,
6 Sept 2015
KL

Nota: Insya Allah, buku tulisan saya tentang kembara akan dimuatkan dalam 'Travelog Gadis Backpackers'. Buku ini ditulis bersama empat penulis lain. Dengarnya akan dilancarkan pada bulan Oktober. Alhamdulilllah!

(Jika ada yang berminat mendapatkan buku versi bertandatangan, boleh tinggalkan emel dalam ruangan komen.)

May 24, 2015

Falsafah Kereta dari Orang Iban

Terkadang, falsafah-falsafah tentang hidup sering keluar dari mulut orang yang kita tidak jangka.

Misalnya, Uncle si pemandu teksi yang hamba kenali ketika menjadi penduduk sementara di bumi Sarawak ini. Beliau selalu punya falsafah yang mengagumkan dan sering muncul secara tiba-tiba pada pagi-pagi hari.

Kredit Foto: Sinar Harian

Pagi itu, saya bercerita tentang sebuah kereta sewa yang sudah dua kali terlibat dengan kemalangan.

Kemalangan kali pertama, penyewa melanggar papan tanda jalan raya dan mengakibatkan bonet kemek teruk di bahagian tengah. Akibatnya, bonet kereta sewa itu harus ditukar baru sepenuhnya.

Kemalangan kali kedua pula bukan gara-gara penyewa, sebaliknya kes kejadian langgar lari. Ajaibnya, kejadian kali kedua ini melibatkan bonet juga!

Dalam saya berdiam diri, tiba-tiba Uncle berkata, "Sebenarnya, mungkin kereta itu yang ber"masalah"."

"Masalah yang bagaimana pula?" tanya saya.

Lalu, Uncle pun membuka cerita.

"Semasa mula-mula membawa teksi, Uncle gunakan kereta orang lain dahulu. Tiap-tiap bulan, Uncle akan bayar duit sewa kereta kepada pemilik kereta. Namun, pemilik itu tidak pernah simpan duit itu. Duit itu selalu digunakan untuk bersuka ria."

Tambah Uncle lagi, "Setahun membawa kereta itu, lapan kali Uncle terlibat dalam kemalangan. Kemalangan kecil  ada, kemalangan besar pun ada. Semuanya akibat dilanggar orang. Paling teruk, Uncle pernah tidak kerja sebulan sebab kereta sedang dibaiki."

Tidak tahan dengan situasi itu, Uncle pun membeli kereta baru. 

Selepas itu, dengan kereta yang baru, hanya ada tiga kali kemalangan dalam masa beberapa tahun.

Ternyata, memang kereta itu yang ber"masalah".

Selepas itu, kami berdua pun terdiam sambil menuju destinasi.

Waida Yusof
24 Mei 2015
Sarawak

May 10, 2015

Berjalan Seperti Rolf Potts

"It is too fatal to know too much at the outset: boredom comes as quickly to the traveler who knows his route as to the novelist who is overcertain of his plot."

Itu kata-kata Paul Theroux, penulis buku "To the Ends of the Earth."

Kata-kata yang boleh diserap intinya sebagai, "Tahu terlalu banyak dan rasa bosan itu akan segera bertandang, apatah lagi, apabila kita sudah terlebih tahu tentang apa yang akan dibuat."


Kaver buku pertama Rolf Potts
Kredit: Amazon

Ini sebenarnya antara 31 petikan kata-kata yang digemari Rolf Potts, penulis buku "Vagabonding: An Uncommon Guide to the Art of Long-Term World Travel".

Baru lima minit yang lalu saya mengenali Rolf Potts ini selepas menjawab kuiz di blog Anne.


I travel like Rolf Potts !


Rolf Potts
You are a travel legend in the making, with a sense of adventure that will lead to hundreds of fascinating stories. Locals all over the world will give you special nicknames, and almost all of them will be complimentary.


What type of traveler are you?

Take BootsnAll's Travel Quiz to find out.



Ada perasaan mahu sambar pula bukunya, selepas membaca komen ini :)

Kata Tim Cahill, penulis buku "Hold the Enlightenment",

"Potts encourages us to think about travel in a way that has been almost lost. He wants us to wander, to explore, to embrace the unknown and finally, to take our own damn time about it. I think this is the most sensible book of travel related advice ever written."

Waida Yusof,
10 Mei 2015
Sarawak

PS: Bertungkus-lumus menyiapkan manuskrip travel ringkas yang sudah dijanjikan kepada penerbit Jun ini. Manuskrip ini adalah projek penulisan bersama 4 wanita backpackers lain, Insya Allah.

April 15, 2015

Tentang Sebuah Persepsi

Malam itu, saya tekun memerhatikan lelaki itu dari arah bertentangan.

Melihat dia yang tidak henti-henti menyalin semula karakter Kanji itu satu demi satu.

Perkataan Jepun dalam tulisan kanji
Kredit Foto: Japanese Calligraphy

"Saya tahu, saya mesti kelihatan pelik tampil begini. Tidak begitu?"

Kata-kata lelaki itu pantas mematikan renungan saya, dan membuat saya mendongak memandang raut wajahnya pula.

Kulit wajahnya cerah bersih seperti lelaki Caucasian yang lain. Badannya kurus dan mukanya sedikit lonjong. Namun, apa yang membezakan dia dengan lelaki lain....

Itu benar sekali, iaitu pada penampilannya yang berambut hijau trojan dan bersubang pada muka. Sekali imbas, ada sedikit persamaan dengan remaja-remaja yang kerap menghadiri konsert muzik rock, kecuali pakaiannya kemas sahaja dan tidak koyak di sana sini.

Ada juga membuat saya terfikir sekilas, apakah yang mahu dia tonjolkan kepada orang ramai melalui penampilannya.

Itu "bias" atau persepsi saya yang hadir dalam diam.

Mari teka lokasi ini di mana? Laut atau tasik?
(Latihan tentang sebuah persepsi)

Selepas itu, kami mula berbual-bual tentang hal-hal urusannya di Jepun.

Hal-hal dia datang bercuti ke Jepun bersama kawan bagi memahirkan penguasaan bahasa Jepun. Mereka mengambil subjek bahasa Jepun di universiti di Itali.

Kemudian...

"Jika saya boleh bertanya, adakah kamu muslim?"

Soalan itu yang seterusnya meluncur dari mulut lelaki Itali itu.

Terus, langsung dan tiada selindung dengan nada ingin tahu.

Mungkin rasa ingin tahu yang timbul selepas tinggal serumah dengan orang muslim Mesir di universiti. Malah, dia juga sering berkawan-kawan dengan rakyat Malaysia.

(Rasa ingin tahu dia itu tekaan saya sahaja.)

Apa yang saya pasti tentang lelaki ini, pengetahuannya tentang Islam bukan sekadar di pinggiran. Malah, tidak hairan juga jika pengetahuannya melebihi kebanyakan dari kita.

Jadi malam itu, bukan dia sahaja yang belajar, tetapi saya juga, iaitu belajar menahan diri dari terlalu cepat membina persepsi.

Waida Yusof,
15 April 2015
Sarawak

April 5, 2015

Ranah Sarawak Itu Luas, Boi!

"Kamu berasal dari bahagian mana di Sarawak?"

Rumah lama di tepi jalan yang dijumpai ketika meronda-ronda dengan kereta

Itu soalan favorit saya sekarang sebaik bertemu orang tempatan. Kemudian, saya akan membuka peta, melihat lokasi tempat itu berada.

Ketika bertemu Encik J misalnya, soalan itu membuat saya berkenalan dengan tempat bernama Saratok.

"Kamu tahu di mana Saratok itu?" tanya Encik J.

Saya menggeleng.

Mengikut Encik J, Saratok ke Kuching sahaja sudah lebih kurang 300km jauhnya.

Terus saya mencongak jarak perjalanan dari rumah ke kampung halaman di Perak. Andai mengikut lebuh raya PLUS, 300km jika dari Kuala Lumpur, sudah boleh sampai di Pulau Pinang!

Di sini, 300km berkereta masih lagi berada di dalam Sarawak. 

Itu pun, bandar terdekat Saratok iaitu Sibu belum pun mencecah separuh dari "panjang" negeri Sarawak.

Belum lagi kita cerita tentang berkereta dari Kuching ke Miri yang memakan masa hampir 12 jam. 

Belum termasuk cerita tentang Limbang yang kita harus keluar masuk Brunei untuk sampai ke sana. 

Perkara ini membuat saya sedar sememangnya Sarawak ini sebuah ranah yang luas dari segi geografinya.

Waida Yusof,
5 April 2015
Sarawak

PS: Duduk di sini membuat saya menambah satu lagi angan-angan road trip, iaitu berkereta dari Kuching ke Kota Kinabalu :D

March 28, 2015

Biar Berbeza Bangsa, Tetap Satu Bahasa

"Uncle, bagaimana kita tahu orang itu Iban, Melanau atau Penan?"

Lokasi Kapit dalam peta Sarawak

Tanya saya kepada si pemandu teksi yang setia mengambil dan menghantar saya pulang setiap hari.

Jujurnya, saya hairan dan ingin tahu.

"Sebenarnya, memang tiada cara untuk bezakan kami dari luaran, kecuali bahasa...."

"Bahasa?"

"Ya, masing-masing bertutur dengan bahasa lain, misalnya Iban dengan bahasa Iban. Jadi, kita tahulah dia berasal dari mana."

Begitu kata Uncle Jali yang berketurunan Iban dan berasal dari Kapit.

Kata Uncle lagi, "Namun, apapun semuanya akan tahu bercakap bahasa yang sama, iaitu bahasa Malaysia juga. Bezanya, sebutan orang di sini tidak serupa dengan sebutan kamu yang dari Semenanjung."

Saya ketawa.

Padanlah kenalan baru saya di pejabat memberitahu, jelas benar saya bukan orang asal Sarawak.

Pagi itu, selepas berjumpa Uncle Jali, saya pun membuka peta Sarawak.

Rupa-rupanya, banyak lagi tentang Sarawak (dan juga Borneo) yang belum saya ketahui :)

Waida Yusof,
28 Mac 2015
Sarawak

PS: Selepas tahu di mana Kapit, saya sudah terfikir soalan seterusnya untuk Uncle Jali. (Hint: Rujuk peta di atas)

March 4, 2015

Pelajaran Pertama daripada Uncle Jali di Sarawak

"Pertama kali datang ke Sarawak?"

Pemandangan matahari terbenam dari udara Sarawak

Aku menggeleng.

Ini bukan kali pertama aku datang ke bahagian ini di Sarawak. Malah, aku kira, mungkin lebih kerap ke sini daripada ke pantai timur.

Bezanya, setiap kali datang, hanya keluar masuk hotel dan pejabat biarpun datang berkali-kali.

Memang bukan cara yang bagus untuk mengenali sesebuah tempat. Tidak begitu?

Hari ini, masuk hari ketiga bermastautin di Sarawak atas urusan kerja dan sudah tiga harilah hamba berkenalan dengan Uncle Jali, pemandu teksi berhemah.

Hari pertama saja, hamba sudah di"tegur" secara halus sebelum kereta mula bergerak.

"Miss, tolong pakai seat belt." (saya duduk di kerusi belakang)

Muka hamba terpana sekejap sebelum tersipu malu.

Pantas tangan kelam kabut mencapai seat belt. Bimbang juga Uncle Jali tidak mahu memandu selagi seat belt tidak dipasang.

Kereta pun bergerak.

Sepuluh minit kemudian, telefon pula berdering.

Terus Uncle Jali memberhentikan keretanya di bahu jalan.

Sekali lagi, terbit rasa kagum (dan malu dengan diri sendiri).

Itu pelajaran pertama hamba di bumi Sarawak ini.

Waida Yusof,
4 Mac 2015
Sarawak

February 28, 2015

Kembara Itu Demi Perkara Kita Tidak Tahu

"Kembara itu melepaskan apa yang kamu tahu demi perkara yang belum kamu tahu."


Petang ini, hamba seperti dilontar undur ke berbelas-belas tahun dahulu, iaitu semasa mahu meninggalkan rumah buat pertama kali.

Bukan sahaja rumah, malah kawan-kawan dan kesemua perkara yang sudah berbelas tahun menjadi sebahagian kehidupan sejak kecil.

Perkara-perkara yang hamba pun tidak sedar sudah sebati dengan diri ini.

Pemandangan rumah, kilang-kilang dan bangunan pencakar langit.

Pemandangan kereta-kereta yang sering silih berganti di lebuh raya.

Juga kemudahan-kemudahan yang dapat didapati dengan mudah, seperti akses kedai yang melimpah ruah di bandar besar kecuali selepas hamba keluar dari lingkungan itu.

Lingkungan zon selesa yang kita cipta dalam diam.

Itu cerita 16 tahun dahulu sewaktu pertama kali mahu menetap di Kelantan dalam keadaan serba tidak tahu.

Rupanya, selepas 16 tahun itu, rasa itu tetap boleh terwujud biarpun sudah kerap mengembara.

Dalam diam, hamba mencipta lingkungan zon selesa dalam dunia kembara itu sendiri. Selama ini, sejauh mana pun hamba mengembara, akhirnya tetap hamba pulang ke titik awal, iaitu ke rumah sendiri.

Namun tidak kali ini. 

Kembara ke tempat baru untuk sementara waktu tanpa pulang ke titik awal.

Moga urusan hamba dipermudahkan Tuhan.

Waida Yusof,
28 Februari 2015
KL

PS: Fikir-fikir kembali, semua kembara saya selama ini pun demi mencari perkara yang tidak saya tahu.

February 3, 2015

Ada Apa Dengan Bologna?

Ini adalah cerita tentang perjalanan ke Bologna yang tidak menjadi.

Di manakah Bologna itu?

Bologna itu di bahagian utara Itali.
Mungkin orang Itali akan berkata begini, "Bologna itu di bahagian atas betis."
(Negara Itali berbentuk kaki)

Ada apa pula di Bologna?

Secara harfiahnya apa yang ada di Bologna, saya pun tidak tahu. Kalian boleh merujuk laman web WikiTravel untuk kita sama-sama lihat apa tarikan pelancong yang ada di Bologna.

Apa yang penting, di Bologna saya ada peluang bertemu dengan Oliver Jeffers, pelukis buku yang kacak ini. (Bukunya yang kacak, bukan penulisnya.)

"The Day the Crayons Quit"

Hari yang sesuai untuk krayon berhenti mewarna

Setiap tahun, sekitar bulan Mac / April, akan ada pesta buku kanak-kanak di Bologna. Ini adalah pesta meraikan pencipta konten kanak-kanak baik penulis, illustrator atau penterjemah.

Memandangkan saya belum direzekikan Tuhan untuk ke sana, di sini saya tuliskan cara-cara yang mungkin untuk sesiapa yang berminat mahu ke Bologna (termasuklah saya untuk tahun mendatang, Insya Allah).

Cara Pertama - Melalui Milan, Itali
  1. Terbang keluar dari KLIA, Kuala Lumpur dan turun di Lapangan Terbang Milan Malpensa
  2. Menaiki keretapi dari Milan ke Bologna.

Cara Kedua - Melalui Paris, Perancis
  1. Terbang dari KLIA ke Lapangan Terbang Charles de Gaulle, Paris (Akhir-akhir ini, selalu juga nampak syarikat Air France buat promosi)
  2. Menaiki kapal terbang tambang murah dari Paris ke Bologna seperti EasyJet.
  3. Atau, boleh juga melihat-lihat keretapi waktu malam dari Paris ke Bologna.

Cara Ketiga - Melalui Istanbul, Turki
  1. Terbang dari KLIA terus ke Istanbul, Turki dengan Turkish Airlines.
  2. Terbang dari Istanbul terus ke Bologna.

Sebenarnya-benarnya jika mahu berjalan ke Eropah, ada tersangat banyak cara untuk sampai di satu-satu destinasi. Semuanya mengikut kreativiti kita dan juga masa dan ongkos yang kita ada.

Andai saya direzekikan Tuhan, Insya Allah, saya mahu ke Bologna pada tahun 2016.

Amin.

Waida Yusof,
3 Februari 2015
KL

PS: Apabila saya bercerita pada ibu saya tidak jadi ke Bologna, ibu saya kata, "Baguslah. Cubalah bawa berehat dari berjalan-jalan selama setahun." (-__-")

January 28, 2015

Bonnes Vacances!

Dua minggu lepas, saya baru menghabiskan buku tulisan Rosie Millard ini,

"Bonnes Vacances! A Crazy Family Adventure in the French Territories"

Kredit: Amazon

Ini cerita sebuah keluarga dari "pulau" Britain mengembara ke pulau-pulau di Perancis.

Aha.

Perancis ada pulaukah?

Itu juga persoalan saya sebelum membaca kisah 'gila-gila' keluarga jurnalis bangsa British ini.

Rosie dan suaminya membawa empat anak mereka mengelingi pulau-pulau ini selama 14 minggu.

Bermula dari London, mereka terbang ke St Pierre et Miquelon, Martinique, Guyane, Kepulauan Polynesia Perancis, New Caledonia dan akhirnya La Reunion sebelum pulang semula ke London.

Kebetulan pula, suami Rosie adalah seorang produser TV, lalu mereka putuskan merakam dokumentari sepanjang tempoh mereka di sana.

Bunyinya seperti biasa sahaja, melainkan jika kita tahu kedudukan pulau-pulau jajahan Perancis ini.

Semua pulau tempat singgahan keluarga Rosie juga dikenali sebagai d├ępartements et territoires d'outre-mer atau nama ringkasnya, DOM-TOMs.

Mari kita lihat lokasi pulau-pulau ini.

Lokasi 1 - St Pierre et Miquelon yang bersebelahan Kanada



Lokasi 2 - Martinique di dalam kawasan kepulauan Carribean



Lokasi 3 - Guyane yang bersempadan di antara Suriname dan Brazil



Lokasi 4 - Kepulauan Polynesia Perancis di Laut Selatan Pasifik



Lokasi 5 - New Caledonia berdekatan Australia



Lokasi 6 - La Reunion berhampiran Madagascar



Gila bukan?

Dan, kesemua pulau-pulau ini masih berada di bawah pemerintahan kerajaan pusat di Paris.

Waida Yusof,
28 Januari 2015
KL

PS: Bonnes vacances! buat mereka yang akan bercuti-cuti semasa Hari Wilayah dan Thaipusam hujung minggu ini :)

January 10, 2015

Petang di Nara, Jepun

"Eto..."
"Ano sa..."
"Sou ka!"

Kasihan Chisaki.

Bertungkus-lumus dia mencari perkataan gantian yang sesuai dalam bahasa Inggeris bagi menjawab soalan kami, dua wanita yang pemahaman bahasa Jepunnya sangat minima.

Jika saya hanya tahu beberapa patah perkataan Jepun melalui drama & anime, tahap penguasaan Gee lebih baik. Sekurang-kurangnya, Gee masih boleh mengenali huruf-huruf dalam tulisan Katakana & Hiragana.

Namun, cita-cita kami petang itu di Nara besar.

Kami berdua mahu minum teh di kafe Jepun original.

Cita-cita yang datang tiba-tiba selepas terjumpa sebuah kedai makan yang comel (dan tidak berjaya makan ubi keledek rebus pada petang sebelumnya.)

Pandangan dari hadapan kedai

Hiasan dalam kedai

Lagi hiasan dalam kedai

Lagi hiasan dalam kedai Chisaki.

Antara menu yang dipaparkan mempunyai gambar

Akhirnya, yang paling senang bagi kami berkomunikasi adalah bahasa ayam itik, atau perkataan mudahnya, bahasa badan.

Tunjuk pada menu, dan buat bahasa isyarat. Selamba sahaja apa-apa isyarat pun, asalkan apa kami mahu, Chisaki faham, dan apa Chisaki mahu beritahu, kami pun faham.

Paling teruk pun, jika bukan kami ketawa, Chisaki pula ketawa.

Kebetulan pula, ada pelanggan lain yang juga datang minum teh di kedai sama. Jadi, kami beritahu Chisaki, kami mahu minum teh yang lelaki tua ini minum :)

Senang.

Chisaki yang sentiasa tersenyum dan pelanggan lelaki tua yang ramah.

Akhirnya, dapat juga kami minum teh.

Menunggu "teh" dari daun meresap secukupnya ke dalam air yang hangat.

Nikmat...

Waida Yusof,
10 Jan 2015
KL

PS: Sebelum pulang, sempat juga saya beli dan bawa balik jus pisang dan onigiri dari kedai Chisaki. Kata kunci untuk beli makanan bagi dibawa pulang adalah "take outo".

PSS: Gambar di dalam entri ini semuanya dikreditkan kepada Gee, rakan sekembara.

January 4, 2015

2015, Ke Mana Kita?

"Tidak bercuti?"

Seandainya ada Anugerah Soalan Popular, pasti soalan ini yang akan menjadi juara setiap kali hujung tahun menjelma :)

Tasik di Whistler, Kanada

(Lihat entri setahun lalu, soalan sama juga yang saya tulis di sana.)

Kali ini, jawapan saya sudah ada penambahbaikan. Improvisasi kata orang. Bukan sekadar menggeleng. Jawapan yang diharapkan lebih sofistikated dari sekadar menjawab cuti sudah habis.

Kata saya, "Biasanya, memang saya tidak bercuti pada hujung tahun. Waktu semua orang bekerja, saya cuti. Waktu semua orang bercuti, saya bekerja."

Pada penghujung tahun 2015 nanti, saya akan fikir jawapan lain pula.

Melihat semula kisah perjalanan saya dalam tahun 2014 seperti dua tahun sudah (2012 & 2013)...

Januari
Terbang tidak henti-henti ke Kota Kinabalu (Sabah), Miri (Sarawak) & Kerteh (Terengganu) atas urusan kerja.

Februari - Mac
Tidak ke mana-mana, kecuali ke UIA, Gombak setiap minggu dan belajar bahasa Perancis.

April
Kota Bharu, Kelantan
Menghadiri walimah kawan pejabat.

Mei
Phnom Penh, Kemboja
Mengikuti rombongan kebajikan sosial anjuran sebuah institut ke Kemboja.

Jun
Bugis, Singapura
Menghadiri Asian Festival of Children's Content dari 30 Mei ke 3 Jun.

Julai - Ogos
Rehat dari sesi travel pada bulan Ramadhan & Syawal.

September
Vancouver & Whistler, Kanada
Pertama kali menjejakkan kaki ke benua Amerika Utara semasa mewakili tempat kerja menjadi pembentang projek.

Oktober
Jepun (Nara - Ise - Hakone - Matsumoto - Takayama - Kanazawa - Kyoto - Osaka)

November
Shanghai, China
Mengikuti delegasi Kota Buku ke Pesta Buku Kanak-Kanak Shanghai (CCBF) membawa siri Mat Biru.

Disember
Bulan berehat. Juga bulan ibu saudara saya meninggal dunia, serta adinda saya diserang demam denggi.

Kesimpulannya,
1. Majoriti perjalanan tahun 2014 ada urusan yang mahu dibuat, bukan suka-suka, kecuali ke Jepun. 
2. Tempoh cuti paling panjang yang pernah diambil, iaitu selama 17 hari.
3. Cita-cita untuk bermastautin 1-3 tahun di luar negara belum tercapai lagi.

Kesimpulan paling utama, ini kali pertama saya tidak membeli tiket ke mana-mana untuk perjalanan dalam tahun 2015.

Memang lari dari kebiasaan dan saya pun hairan dengan diri sendiri.

Waida Yusof,
4 Januari 2015
KL

PS: Kebiasaan saya adalah membeli tiket 7 - 8 bulan awal dari tarikh perjalanan.