February 3, 2015

Ada Apa Dengan Bologna?

Ini adalah cerita tentang perjalanan ke Bologna yang tidak menjadi.

Di manakah Bologna itu?

Bologna itu di bahagian utara Itali.
Mungkin orang Itali akan berkata begini, "Bologna itu di bahagian atas betis."
(Negara Itali berbentuk kaki)

Ada apa pula di Bologna?

Secara harfiahnya apa yang ada di Bologna, saya pun tidak tahu. Kalian boleh merujuk laman web WikiTravel untuk kita sama-sama lihat apa tarikan pelancong yang ada di Bologna.

Apa yang penting, di Bologna saya ada peluang bertemu dengan Oliver Jeffers, pelukis buku yang kacak ini. (Bukunya yang kacak, bukan penulisnya.)

"The Day the Crayons Quit"

Hari yang sesuai untuk krayon berhenti mewarna

Setiap tahun, sekitar bulan Mac / April, akan ada pesta buku kanak-kanak di Bologna. Ini adalah pesta meraikan pencipta konten kanak-kanak baik penulis, illustrator atau penterjemah.

Memandangkan saya belum direzekikan Tuhan untuk ke sana, di sini saya tuliskan cara-cara yang mungkin untuk sesiapa yang berminat mahu ke Bologna (termasuklah saya untuk tahun mendatang, Insya Allah).

Cara Pertama - Melalui Milan, Itali
  1. Terbang keluar dari KLIA, Kuala Lumpur dan turun di Lapangan Terbang Milan Malpensa
  2. Menaiki keretapi dari Milan ke Bologna.

Cara Kedua - Melalui Paris, Perancis
  1. Terbang dari KLIA ke Lapangan Terbang Charles de Gaulle, Paris (Akhir-akhir ini, selalu juga nampak syarikat Air France buat promosi)
  2. Menaiki kapal terbang tambang murah dari Paris ke Bologna seperti EasyJet.
  3. Atau, boleh juga melihat-lihat keretapi waktu malam dari Paris ke Bologna.

Cara Ketiga - Melalui Istanbul, Turki
  1. Terbang dari KLIA terus ke Istanbul, Turki dengan Turkish Airlines.
  2. Terbang dari Istanbul terus ke Bologna.

Sebenarnya-benarnya jika mahu berjalan ke Eropah, ada tersangat banyak cara untuk sampai di satu-satu destinasi. Semuanya mengikut kreativiti kita dan juga masa dan ongkos yang kita ada.

Andai saya direzekikan Tuhan, Insya Allah, saya mahu ke Bologna pada tahun 2016.

Amin.

Waida Yusof,
3 Februari 2015
KL

PS: Apabila saya bercerita pada ibu saya tidak jadi ke Bologna, ibu saya kata, "Baguslah. Cubalah bawa berehat dari berjalan-jalan selama setahun." (-__-")

No comments:

Post a Comment