March 28, 2015

Biar Berbeza Bangsa, Tetap Satu Bahasa

"Uncle, bagaimana kita tahu orang itu Iban, Melanau atau Penan?"

Lokasi Kapit dalam peta Sarawak

Tanya saya kepada si pemandu teksi yang setia mengambil dan menghantar saya pulang setiap hari.

Jujurnya, saya hairan dan ingin tahu.

"Sebenarnya, memang tiada cara untuk bezakan kami dari luaran, kecuali bahasa...."

"Bahasa?"

"Ya, masing-masing bertutur dengan bahasa lain, misalnya Iban dengan bahasa Iban. Jadi, kita tahulah dia berasal dari mana."

Begitu kata Uncle Jali yang berketurunan Iban dan berasal dari Kapit.

Kata Uncle lagi, "Namun, apapun semuanya akan tahu bercakap bahasa yang sama, iaitu bahasa Malaysia juga. Bezanya, sebutan orang di sini tidak serupa dengan sebutan kamu yang dari Semenanjung."

Saya ketawa.

Padanlah kenalan baru saya di pejabat memberitahu, jelas benar saya bukan orang asal Sarawak.

Pagi itu, selepas berjumpa Uncle Jali, saya pun membuka peta Sarawak.

Rupa-rupanya, banyak lagi tentang Sarawak (dan juga Borneo) yang belum saya ketahui :)

Waida Yusof,
28 Mac 2015
Sarawak

PS: Selepas tahu di mana Kapit, saya sudah terfikir soalan seterusnya untuk Uncle Jali. (Hint: Rujuk peta di atas)

March 4, 2015

Pelajaran Pertama daripada Uncle Jali di Sarawak

"Pertama kali datang ke Sarawak?"

Pemandangan matahari terbenam dari udara Sarawak

Aku menggeleng.

Ini bukan kali pertama aku datang ke bahagian ini di Sarawak. Malah, aku kira, mungkin lebih kerap ke sini daripada ke pantai timur.

Bezanya, setiap kali datang, hanya keluar masuk hotel dan pejabat biarpun datang berkali-kali.

Memang bukan cara yang bagus untuk mengenali sesebuah tempat. Tidak begitu?

Hari ini, masuk hari ketiga bermastautin di Sarawak atas urusan kerja dan sudah tiga harilah hamba berkenalan dengan Uncle Jali, pemandu teksi berhemah.

Hari pertama saja, hamba sudah di"tegur" secara halus sebelum kereta mula bergerak.

"Miss, tolong pakai seat belt." (saya duduk di kerusi belakang)

Muka hamba terpana sekejap sebelum tersipu malu.

Pantas tangan kelam kabut mencapai seat belt. Bimbang juga Uncle Jali tidak mahu memandu selagi seat belt tidak dipasang.

Kereta pun bergerak.

Sepuluh minit kemudian, telefon pula berdering.

Terus Uncle Jali memberhentikan keretanya di bahu jalan.

Sekali lagi, terbit rasa kagum (dan malu dengan diri sendiri).

Itu pelajaran pertama hamba di bumi Sarawak ini.

Waida Yusof,
4 Mac 2015
Sarawak