February 28, 2014

Ketagih Mengembara Lagi

Mengembara itu satu ketagihan.

Les Calangues - Tempat yang lebih cantik dari Paris :)

Sekali terjebak, sudah tidak boleh berundur lagi :)

...dan sekarang, kaki sudah mula "gatal-gatal" lagi mahu berada di jalanan.

Pada hari terakhir Feb 2014 ini, saya senaraikan tempat saya mahu pergi (tanpa urutan kepentingan).

  1. Ke seluruh pulau Indonesia
  2. Berkeretapi merentasi Rusia, China dan Vietnam.
  3. Seluruh Andalusia + Morocco + Algeria
  4. Eropah Timur
  5. Turki + Greece
  6. Seluruh Scotland (terutamanya Highland)
  7. Seluruh Ireland 
  8. Berkereta dari Pulau Pinang ke Thailand
  9. Berkereta dari Kota Kinabalu ke Brunei.
  10. China

Impian yang mahu dicapai sebelum menutup mata.

Amin, amin!

Waida Yusof,
28 Feb 2014
KL

February 16, 2014

Wedus Gembel Kelud

Terlewat mendapat berita tentang letusan gunung berapi Kelud di Pulau Jawa.

Rupanya sudah 3 hari berlalu sejak letusan itu berlaku dan tanpa saya sangka kesan letusan itu jauh merebak sehingga ke Jogjakarta.

Lihat peta di bawah.

Peta Pulau Jawa

Bulatan merah di sebelah kiri adalah Jogjakarta, manakala bulatan merah yang satu lagi adalah tempat letusan berlaku.

Langsung teringat pada Pak Monel, supir kami ketika berkunjung ke Jogjakarta tahun lalu.

Pagi itu, kami berkereta menuju Gunung Merapi.

Dari kejauhan, kelihatan Gunung Merapi mengeluarkan asap putih di sebalik langit biru dan pemandangan menghijau.

Cantik...

Gunung Merapi ketika 'tenang'
Kredit Foto: Kresna Tour
...dan juga menakutkan.

Asap putih itu tanda Merapi masih 'jaga' dan bukan tidur.

Sekali ter'jaga' dan 'marah', antara yang keluar dari mulut Merapi adalah Wedus Gembel seperti yang terjadi pada 26 Oktober 2010.

Wadus Gembel Merapi
Kredit Foto: Bentang Jagad

Beritahu Pak Monel, "Wedus Gembel itu panggilan orang di sini untuk awan panas."

Awan panas dan beracun ini boleh mencapai suhu 600 darjah terkandung isi-isi perut gunung berapi seperti batu, kerikil, pasir, abu dan gas gunung berapi.

Cerita Pak Monel lagi, awan panas itu dipanggil Wedus Gembel kerana bentuknya yang tebal dan berkepul-kepul seperti kambing biri-biri. Ke mana sahaja Wedus Gembel lalu, apa yang berada di laluannya pasti 'hilang'.

Pasti kelam kabut situasi di Jogja dan sekitar Kelud sekarang. Apatah lagi, lapangan terbang berhampiran juga sudah ditutup.

Moga Tuhan selamatkan mereka. 

Amin, amin.

Waida Yusof,
16 Februari 2014
KL

February 9, 2014

Magis Dari Tuhan Di Kota Singa

PS: Artikel yang sudah lama ditulis, namun terlupa publish. 

Membaca "Living A Charmed Life" tulisan Victoria Moran hari ini membuat saya teringat sebuah peristiwa waktu Subuh ketika di Kota Singa.

Kredit Foto: Di sini

Kata Victoria, "Kita akan menemui keajaiban jika kita mencarinya."

Bak kata orang putih, "It's a miracle!"

Kata orang kita pula, "Bantuan dari langit!"

Sepertimana Tuhan menurunkan bantuan ajaib-Nya ketika perang Khandak. Angin bertiup kencang hingga debu-debu berterbangan dan khemah ranap segalanya. Memang magis dari Tuhan dan kesannya, Islam memenangi perang Khandak itu.

Perkara kecil, namun kesannya besar kepada sejarah Islam.

Begitulah yang saya rasa saat menerima magis Tuhan ketika di Singapura awal tahun ini.

Waktu itu, kami baru sahaja turun dari bas selepas ia tiba di destinasi akhir, Lavender Street. Sedikit lewat daripada jadual, kami tiba di situ melebihi jam 6 pagi. Pantas kami mengangkat beg dan berjalan mencari rumah tumpangan yang sudah ditempah lebih awal.

Bukan isu mencari rumah tumpangan yang merisaukan saya. Sebaliknya, waktu Subuh yang singkat tempohnya. Dua orang kawan saya juga berkongsi kerisauan yang sama, lantaran langit semakin tidak gelap lagi.

Jam 6.40 pagi dan kami akhirnya sampai di hostel yang ditempah. 

Rancangan dibuat supaya meletak beg dan terus berjalan ke hadapan mencari masjid.

Namun, masa semakin suntuk.

Lalu, ada di antara kami tiba-tiba tergerak bertanya orang di kaunter, "Bolehkah kami menumpang bersolat di kawasan umum di sini?"

Lelaki di kaunter itu terdiam. Lama.

Akhirnya, dia menjawab, "Ada bilik kosong pagi ini. Kalian boleh masuk, mandi dan bersolat di situ."

Syukur!

Budi kecil yang tetap saya kenang sampai bila-bila.

Waida Yusof,
29 Disember 2012
KL

February 4, 2014

Anekdot Luar Negara

Entri yang mahu ditulis pada Tahun Baru Hijrah sebenarnya :)

Kadangkala, kita mungkin "take things for granted" sehinggalah tersedar perkara kita ada itu rupanya bukan sesuatu yang biasa.

Gambar gelongsor yang diambil di tepi sebuah sungai di Lyon

Biasa bagi kita, mungkin tidak biasa bagi orang lain.

Tempoh hari, saya mendengar cerita tentang sebuah negara yang pernah berada di bawah pentadbiran Kesatuan Soviet dan berhampiran Laut Caspian.

Kata ketua saya yang mengulangi kisah kawannya, "Di sana, ketika Presidennya berada di jalan raya, semua penduduk akan cepat-cepat menutup tingkap. Jika lambat, laju sahaja senapang diacu ke arah tingkap yang masih terbuka."

Dia menambah lagi, "Pernah sekali, rumah kawan saya didatangi polis selepas jiran mengadu rumah mereka bising (walaupun bunyi bising itu berpunca dari suara anak-anak)."

Rakan saya pula berkongsi pengalamannya bekerja di sana dua tahun. "Warga luar tidak boleh keluar rumah selepas jam 12. Pernah terjadi, ada polis menunggu ketua saya kerana keluar rumah selepas had masa itu."

Katanya lagi, "Perempuan warganegara sana pun tidak boleh berkahwin dengan rakyat luar. Jika mereka curi-curi berkahwin di luar negara, apabila pulang ke sana, wanita itu akan dilarang keluar negara."

0_0

(Itu sahaja reaksi yang termampu saya buat tatkala mendengar semua ini.)

Lantas, teringat kepada pemandangan askar-askar berpatrol sambil memegang senapang di stesen Metro di Perancis.

Benarlah kata orang, "Apa yang biasa bagi mereka, belum tentu biasa bagi kita."

Waida Yusof
5 Nov 2013
1 Muharram 1435 Hijrah

PS: Apa yang diceritakan di atas adalah anekdot atau cerita peribadi semata-mata, mengikut perspektif pencerita dan tidak terlindung daripada sebuah pandangan yang bias. Ia juga tidak melambangkan keseluruhan cerita sebenar tentang sesebuah negara.

PSS: Terakhir yang saya baca, Presiden negara yang dimaksudkan dalam entri ini sudah pun bertukar.

February 1, 2014

Bas Alternatif Keretapi Di Jepun

Pengangkutan antara bandar adalah antara kos terbesar ketika travel.


Jadi, jika ke Jepun, jika tidak mahu menaiki keretapi, boleh menaiki bas, antaranya Willer Express. Kosnya jauh lebih murah dari menaiki keretapi. Malah, jika sesuai, kita juga boleh membeli pas mengikut hari.

Tanpa saya sangka, ada pelbagai jenis tempat duduk. (Orang Jepun memang suka berinovasi).

Ada bas yang mempunyai kerusi ber"hood".



Jika menambah harga tiket, kita dapat memilih bas yang memiliki langsir pembahagi di antara tempat duduk bagi menjaga privasi penumpang.

Jika menambah lagi harga tiket, ada pula bas yang menyediakan tempat duduk berupa "cocoon" dan terpisah terus dari penumpang sebelah. (Kalah kapal terbang...)

Memang mengagumkan.

Melihat-lihat lagi informasi yang ada, terjumpa pula petikan ini -_-



(Baiklah, mohon jangan bawa mayat ke atas bas ya...)

Waida Yusof,
1 Februari 2014
KL