February 9, 2014

Magis Dari Tuhan Di Kota Singa

PS: Artikel yang sudah lama ditulis, namun terlupa publish. 

Membaca "Living A Charmed Life" tulisan Victoria Moran hari ini membuat saya teringat sebuah peristiwa waktu Subuh ketika di Kota Singa.

Kredit Foto: Di sini

Kata Victoria, "Kita akan menemui keajaiban jika kita mencarinya."

Bak kata orang putih, "It's a miracle!"

Kata orang kita pula, "Bantuan dari langit!"

Sepertimana Tuhan menurunkan bantuan ajaib-Nya ketika perang Khandak. Angin bertiup kencang hingga debu-debu berterbangan dan khemah ranap segalanya. Memang magis dari Tuhan dan kesannya, Islam memenangi perang Khandak itu.

Perkara kecil, namun kesannya besar kepada sejarah Islam.

Begitulah yang saya rasa saat menerima magis Tuhan ketika di Singapura awal tahun ini.

Waktu itu, kami baru sahaja turun dari bas selepas ia tiba di destinasi akhir, Lavender Street. Sedikit lewat daripada jadual, kami tiba di situ melebihi jam 6 pagi. Pantas kami mengangkat beg dan berjalan mencari rumah tumpangan yang sudah ditempah lebih awal.

Bukan isu mencari rumah tumpangan yang merisaukan saya. Sebaliknya, waktu Subuh yang singkat tempohnya. Dua orang kawan saya juga berkongsi kerisauan yang sama, lantaran langit semakin tidak gelap lagi.

Jam 6.40 pagi dan kami akhirnya sampai di hostel yang ditempah. 

Rancangan dibuat supaya meletak beg dan terus berjalan ke hadapan mencari masjid.

Namun, masa semakin suntuk.

Lalu, ada di antara kami tiba-tiba tergerak bertanya orang di kaunter, "Bolehkah kami menumpang bersolat di kawasan umum di sini?"

Lelaki di kaunter itu terdiam. Lama.

Akhirnya, dia menjawab, "Ada bilik kosong pagi ini. Kalian boleh masuk, mandi dan bersolat di situ."

Syukur!

Budi kecil yang tetap saya kenang sampai bila-bila.

Waida Yusof,
29 Disember 2012
KL

No comments:

Post a Comment