May 21, 2017

Melihat Street Art di Portugal

Saya cabar diri ini melihat sesuatu yang berbeza ketika ke Lisboa (dalam bahasa Inggeris dipanggil Lisbon), Portugal minggu lalu. 

Lalu, saya ternampak poster ini di hostel.

Lisbon Street Art Tour Poster
Ayat poster ini juga seperti mahu mencabar diri ini

Maka, menapaklah saya dan Nor daripada hostel di Beco dos Apostolos menuju Praca Luis Camoes. Jam 10.30 pagi, sesiapa sahaja yang berminat harus berkumpul di plaza yang dinamakan sempena penyajak terkenal Portugis ini, Luis Vaz de Camoes.

Selain kami berdua, ada beberapa orang juga turut menyertai kumpulan kami pada pagi hujan renyai-renyai itu.

Ada Stephanie, wanita yang saya jangka berusia sekitar 40-an. Kami baru sahaja mengenalinya sejam yang lalu di Lost Inn Hostel, Lisbon. Terbata-bata dia menerangkan dengan kosa kata Inggeris ringkas yang dia baru tiba di bandar ini malam semalam. (Lebih baik sedikit daripada kami yang baru tiba di situ jam 7 pagi).

Ada pula sepasang suami isteri daripada Australia. Kedua-duanya pernah ke Kuala Lumpur dan suka makanan Malaysia. Sang suami sebenarnya bukan peminat street art, tetapi menemankan si isteri yang berminat dengan fotografi.

Selain kami berlima, ada sepasang couple, nenek travel blogger, jurnalis guidebook, lelaki dari US, dan seorang wanita kecil molek. Majoritinya daripada Perancis. Malah, si jurnalis wanita itu dihantar syarikat dari Perancis khusus mendapatkan maklumat terkini tentang travel di Lisbon.

(Timbul sedikit kehairanan, apakah orang Perancis suka melancong ke Portugal?)

Pemandu tour kami dengan lukisan grafiti di luar kelab "Buedalouco Pharmacia Cultura"

Oh ya, pemandu tour kami ini juga orang Perancis.
Jadi, Stephanie rakan baru kami sangat gembira. Lebih mudah dia memahami bahasa Inggeris dialek Perancis pemandu tour kami.

Kata pemandu kami yang juga seorang artis jalanan, tujuan mereka melakukan tour ini selain untuk dana, mereka mahu memberi pendedahan tentang keistimewaan seni jalanan ini.

"Selepas tour ini, saya cabar kamu semua melihat street art ini sebagai sesuatu yang berbeza. Mungkin selepas ini, kamu akan lebih teliti dan lebih memerhatikan sekeliling kamu ketika berjalan."

Terang pemandu kami, Lisboa adalah bandar yang menghalalkan seni grafiti. Sebab itulah, akan wujud banyak lukisan atau contengan ber"seni" di mana-mana sahaja. Pihak berkuasa sepakat menghalalkan seni ini selepas tidak lagi mampu mengecat berkali-kali dinding yang diconteng. Lebih mudah mereka mengawal dengan memberi kebenaran untuk contengan dilakukan di tempat tertentu.

Secara ringkasnya, ada dua jenis seni grafiti, iaitu berbentuk lukisan atau tulisan, dan pada setiap lukisan, biasanya disertakan tandatangan si artis. Apa yang menarik, artis-artis ini suka meninggalkan lukisan mereka di bandar-bandar yang mereka datang melawat. Jadi, mungkin kita akan dapati lukisan mereka di Lisbon atau Paris misalnya!

Antara lukisan grafiti "masterpiece" yang kami lihat pagi itu. 

Utopia 2017

Nove

Pelukis yang sama dengan yang di atas (Utopia)

Ini antara yang saya suka. Dindingnya tidak rata sebenarnya

Perlu betul-betul memerhatikan. Ini antara artis yang meninggalkan lukisan mereka ketika melancong

Gambar di atas pada jarak dekat

Kata pemandu kami, artis jalanan sebenar tidak akan melukis di atas hasil kerja artis jalanan lain

Kedua-dua jenis seni grafiti ini termasuk dalam seni jalanan.

Apa yang saya tidak sangka tentang seni jalanan ini wujudnya seni lukisan atau tampalan yang berbentuk fotografi seperti ini.

Gambar dilekap ke atas blok kayu dan dipaku ke dinding

Lagi gambar dengan kamera lebih dekat

Jurugambar ini mengambil gambar penduduk-penduduk yang tinggal di lorong ini dan memindahkan gambar mereka ke atas blok kayu sebagai kenangan. Justeru, sepanjang lorong ini dipenuhi dengan blok-blok kayu berisi gambar. Ada juga gambar yang dicetak terus ke dinding!

Oh ya, jangan tak tahu stiker juga termasuk dalam street art.
Ada artis yang setiap kali berkunjung ke mana-mana bandar akan meninggalkan stiker-stiker yang sudah siap-siap disediakan. Stiker ini mereka akan tampal di belakang papan tanda jalan misalnya.

Pelbagai gaya rupanya seni jalanan ini!
(Kata pemandu tour kami, apa sahaja nyanyian atau lakonan di jalanan, ia juga street art).

Dan, ia sebuah penghormatan besar apabila street artist dipanggil khusus bagi menghias dinding seperti yang berlaku di tempat parkir lima tingkat yang kami lawati. Setiap tingkat dilukis dengan dengan tema berbeza oleh setiap artis, malah disertakan biografi mereka sekali!

Dan petang itu, saya terjumpa lukisan street art ini secara tidak sengaja...

Entah siapa pelukis bernama Cime ini


Waida Yusof,
21 Mei 2017
Jasad di KL, Minda di Portugal

1 comment: