October 19, 2014

Berkenalan dengan Jepun

"Cuti tiga minggu ke Jepun? Pusing seluruh Jepun kah?"


Berkali-kali saya ditanya begitu apabila memberitahu destinasi jalan-jalan kali ini. 

Dan, setiap kali itulah saya menggeleng kepala. 

Entah bagaimana mahu memberitahu yang Jepun itu besar sekali dan mustahil mahu dijelajahi dalam masa tiga minggu.

Boleh sebenarnya, jika hanya ke bandar-bandar utama di Jepun. Namun, perasaannya umpama melawat Kuala Lumpur, Kota Kinabalu dan Melaka sahaja. Kemudian, kita anggap sudah cukup mengenali Malaysia.

Sayang betul rasanya jika tidak ambil masa bagi mengenali Jepun.

Jadi, fokus kami kali ini hanya mahu mengenali beberapa tempat di pulau Honshu.

Kemudian, jika ada rezeki, boleh datang lagi ke Jepun, insya Allah :)

Waida Yusof,
19 Oktober,
Jepun

PS: Malam ini, saya berkenalan dengan Makina, dan beliau memperkenalkan beras, teh hijau dan limau dari daerah Mie. Kata Makina, berkenal-kenalanlah dengan Jepun melalui makanannya. 

October 2, 2014

Sam dan Rasa Ingin Tahunya

Sam, oh, Sam.

Ini kisah Sam, pengurus rumah tumpangan kami di Vancouver, Kanada serta soalan-soalan luar jangkanya.

Rumah tamu Between Friends di Arbutus Street

Beliau berasal dari Jepun dan sudah lebih sepuluh tahun bermastautin di Vancouver. Hanya sekali dalam setahun, beliau akan pulang bercuti ke Jepun dan melawat saudara-mara di sana.

Menurut Sam, ini kali pertama rumah tamu (baca: Bed & Breakfast) beliau menerima tetamu dari Malaysia.

Rumah di mana Sam tinggal bersama isterinya

(Dalam hati saya, mujur jugalah dia pernah mendengar nama Malaysia)

Mungkin atas faktor pertama kali bertemu orang Malaysia, beliau menjadi sangat ingin tahu tentang kami. (Mungkinlah...)

Kali pertama bertemu Sam, beliau sudah bertanya, "Orang Malaysia biasa memakai... "ini"?" sambil menunjuk kepada tudung yang dipakai kami.

Lalu, kami mengangguk.

Kami sangka soalan itu hanya setakat di situ.

Rupa-rupanya tidak.

Soalan seterusnya datang ketika kami menjamah sarapan pagi keesokan hari.

Sebenarnya, ini makanan tengahari kami di Restoran Al-Basha 

Sam bertanya lagi, "Yang kamu pakai di kepala itu, apa namanya?"

Mudah sahaja kami menjawab dengan kosnep  'skaf', supaya mudah untuk Sam faham dan terima.

Kemudian, beliau menambah lagi, "Ada sebab tertentu kamu menutup kepala? Adakah sebab agama?"

Ini juga soalan mudah.

Angguk sahaja jawapannya.

Selepas itu, datang lagi soalan luar jangka Sam.

"Ada sebab tertentu kamu memakai skaf berwarna hijau?"

Sam, oh Sam :)

Waida Yusof,
22 Sept 2014
KL

PS: Memang selepas ini, saya akan fikir dua tiga kali, apabila mahu memakai tudung berwarna terang di luar negara T_T

PSS: Ini benda paling lejen yang saya jumpa di Kanada.