April 21, 2014

Terima Kasih, Kota Bharu

"Adik, bakpe tok amik sejadoh?" (Adik, mengapa tidak ambil sejadah?)

Perempuan separa tua itu menegur. Lagak beliau seperti seorang ibu menegur anak perempuannya sehingga saya tersipu-sipu seorang diri.

Kemudian, beliau memusing sejadah yang dibawanya dari kedudukan menegak kepada kedudukan melintang sebelum kami sama-sama bersolat Zohor di Masjid al-Baro'ah.

Di sini, pasti teringat kenangan berwuduk dengan air karat :)

Kemudian, selepas solat, semua jemaah wanita pun bersalam-salaman.

Situasi ini tetap seperti yang saya kenali dahulu.

Biarpun sudah tiada lagi wakaf kayu cantik di hadapan restoran makanan segera 'A&W'.
Biarpun pasaraya The Store sudah hilang kegemilangannya.
Biarpun kedai buku yang sering saya kunjungi itu sudah 'hilang' ditelan zaman.
Biarpun kedai makan yang saya suka Nasi Pattaya-nya itu saya sudah lupa lokasinya.

Walau apapun, saya sudah bertemu kenangan 'rasa' yang saya cari. Rasa kekeluargaan yang pernah saya terima ketika bersekolah di bumi Serambi Mekah ini lebih sedekad yang lalu.

Terima kasih, Kota Bharu kerana menjadi sebahagian daripada hidup hamba.

Terima kasih, Kota Bharu kerana di sinilah hamba belajar menjadi manusia.

Waida Yusof,
KL
21 April 2014

PS: Kelantan adalah negeri pertama yang mengajar saya mula mengembara.

April 6, 2014

Kota Bharu Dalam Kenangan

Kali terakhir saya ke Kota Bharu adalah pada tahun 2010. Sebelum itu, sudah tersangat lama saya tidak ke sini selepas tamat sekolah.

Stesen bas Kota Bharu yang pernah menjadi nadi pengangkutan saya berulang-alik ke sekolah dahulu

Hanya kali itu, jadual terlalu padat. Jadi, kali ini, saya berazam mahu pusing-pusing di bandar yang menjadi tempat 'outing' saya dahulu.

Ada perkara yang berubah.

Baru sekarang saya tahu nama masjid ini.
Saya hanya panggil tempat ini 'surau di sebelah pasar Siti Khadijah'

Ada perkara yang tetap tidak berubah.


Pasar Siti Khadijah tetap penuh dengan peniaga wanita seperti masa lalu

Ada perkara saya pun terlupa ia sudah berubah.

Bangunan tinggi itu dahulu tidak kelihatan.
Hanya ada kawasan padang yang luas serta wakaf tempat kami pelajar-pelajar sekolah asrama melepaskan penat ber'outing'.

Namun, antara yang tidak berubah itu, misalnya kemesraan penduduk Kota Bharu yang sentiasa saya kenang sampai bila-bila.

Waida Yusof,
6 April 2014
Kota Bharu, Kelantan

PS: Masih mampu memahami apabila penduduk di sini kecek Kelate :)