November 8, 2015

Kurang RM 5 Ribu Jalan-Jalan 18 Hari Di Jepun (Bahagian 2)

Saya tidak boleh lupa riak wajah hampir semua tuan rumah hostel yang kami menginap di Jepun setiap kali diberi peluang bertanya soalan.

Semuanya berwajah pelik apabila soalan pertama kami adalah "Di mana pasar?"

Sayur-sayuran Segar di Nara
Kredit Foto: Gee

Dan, tujuan utama kepada persoalan inilah sambungan kepada sembilan cara pertama kami mampu jalan-jalan 18 hari di Jepun dengan dana kurang RM 5 ribu.

10 - Masak Makanan Sendiri (Pagi & Malam)

Pagi kami di Jepun bermula dengan sarapan ringkas roti, telur hancur (scramble egg), pisang dan susu. Sekali sekala saya ada membeli yogurt di kedai dan campurkan pisang yang sudah dipotong kecil-kecil ke dalamnya. Apabila ada nasi lebihan semalam, kami goreng nasi itu dahulu sebagai bekalan tengahari. 

Makan maggi pun sedap juga jika dimakan panas-panas

11 - Beli Bahan Mentah di Pasar

Barang wajib beli kami di Jepun adalah buah-buahan, beras, sayur-sayuran, telur, ikan, dan ada juga ikan bilis. Kesemua bahan-bahan mentah ini, kami beli di pasar, atau jika terdesak, di kedai serbanika seperti FamilyMart, Lawson atau 7 Eleven

Harga barang di pasar lebih murah berbanding di kedai serbanika. Namun, apa yang saya suka tentang kedai serbanika di Jepun, mudah berjumpa barang mentah dalam saiz mini. Misalnya, kita boleh membeli satu pek yang berisi 4 biji telur sahaja, berbanding sedozen telur seperti biasa. Beras saiz mini (1 kg) juga kami pernah beli di kedai FamilyMart.

12 - Makan Tengahari di Kedai, Bukan Malam

Di lapangan terbang Osaka, harga semangkuk udon (mi Jepun) lebih kurang 600 yen (= RM21).

Di sebuah kedai makanan India halal di Kyoto pula, satu set makanan (roti nan, sayur dalca/kari, ayam tandoori & air) boleh mencecah 2000 yen (= RM71) sekali hadap.

Roti Nan di Gunung Fuji
Kredit Foto: Gee

Di sebuah hotel yang menawarkan set makan malam halal Jepun yang autentik (lengkap dengan sushi), mudah sahaja kita berjumpa satu set makanan dengan harga 11,000 yen (= RM390).

Ya, memang mahal andai difikirkan tukaran harga yen ini kepada ringgit Malaysia.

Lalu, kami guna pakai tips no 10 bagi mengurangkan kos. Namun, sekali sekala kami tidak terasa mahu masak dan mahu makan di kedai di Jepun. Apa kami buat adalah makan di kedai pada waktu tengahari. Kedai yang kami jumpa di Osaka menawarkan set makan tengahari yang lebih murah berbanding set makan malam. 

13 - Tidur Di Atas Futon (Tilam Jepun) di Hostel

Selama 18 hari di 8 tempat, kami menginap di 8 hostel berbeza dan kos penginapan secara purata adalah 3000 yen (= RM106 ) semalam. 

Hostel dengan gaya Jepun. Dinding kertas, tilam Futon dan tikar Tatami
Kredit Foto: Gee

Harga ini adalah harga untuk satu katil (atau satu tilam), dan bukan satu bilik. Oh ya, di Jepun ada dua jenis katil yang biasa disediakan. Katil yang pertama adalah tilam Jepun, iaitu futon dan biliknya dipasang dengan tikar tatami. Katil jenis yang kedua diletakkan dengan katil normal seperti di Malaysia dan ambillah jenis yang pertama kerana harganya lebih murah.

Katil kayu unik di Kazami Guesthouse di Ise
Kredit Foto: Gee

14 - Tempah Bilik di Hostel Yang Baru Dibuka

Di Hakone, kami menginap di sebuah hostel yang baru dibuka, Hakone Tent. Hostel ini baru dibuka 4 bulan sebelum kami datang. Pada waktu itu, laman web pun belum betul-betul siap, hanya ada sedikit gambar dan emel. Saya pun sudah terlupa bagaimana kami terjumpa hostel ini ketika mencari secara online. Jadi, saya emel mereka dan bertanyakan kos penginapan semalam. 

Hostel baru biasanya menawarkan harga diskaun (saya pernah dapat ketika tinggal di Singapura) supaya ada yang tertarik mahu mencuba. Kelebihan tinggal di hostel baru, servis dari pemilik hostel tip top dan barang-barang di hostel masih dalam keadaan baik dan terjaga. 

15 - Bina Hubungan Baik dan Berhubung Terus dengan Pemilik Hostel

Biarpun ada Agoda atau Booking.com, saya tetap suka hantar emel terus kepada pemilik hostel. Pemilik hostel kecil-kecilan lebih suka kita berhubung terus dengan mereka tanpa orang tengah. Urusan tempahan juga lebih mudah, dan kita dapat mengagak bagaimana sikap pemilik hostel, adakah mesra atau tidak melalui emel yang dikirimkan. Mudah juga mengagak bagaimana penguasaan bahasa Inggeris mereka. Jadi, tinggal di hostel akan menjadi sebuah pengalaman menyenangkan dan selesa.

Kazami Guest House di Ise, hostel yang unik
Kredit Foto: Gee

Andai ada rezeki, kita mungkin mendapat diskaun terutamanya selepas menjadi pelanggan berulang seperti tawaran yang saya dapat ketika mahu ke Shanghai buat kali kedua.

16 - Cari Pakej Untuk Pelancong

Bertanya soalan kepada pegawai di Pusat Sehenti Untuk Pelancong Luar dan Tempatan
Kredit Foto: Gee

Amalkan pergi ke "Tourist Information Center" dan tanya adakah pakej yang menarik untuk pelancong. Minta pendapat pegawai di situ, apakah pakej lawatan tempat-tempat menarik yang sesuai dengan masa yang kita ada. Boleh juga bertanya kepada pemilik hostel kerana kadangkala mereka akan terima kad-kad baucer dari syarikat agensi pelancongan.

Misalnya di Osaka, ada Osaka 1 or 2-Day Pass yang membolehkan kita melawat tempat-tempat menarik sekitar Osaka dengan harga diskaun. Pembelian pass ini juga membolehkan kita menaiki beberapa laluan subway di Osaka secara percuma. Apa yang penting, baca maklumat tentang pass ini dengan lengkap.

17 - Membeli-belah Buah Tangan di Kedai 100 Yen

Cara mudah untuk jimat adalah tidak membeli belah langsung :)

Namun, andai mahu mencari buah tangan juga untuk orang-orang tersayang, belilah barang-barang berciri Jepun di kedai 100 Yen seperti chopstik comel, poskad comel, buku tulis, bekas bento, teko Jepun dan lain-lain lagi. 

18 - Pergi Ke Tempat Pelancongan Yang Percuma

Cari tempat yang tidak memerlukan kos atau hanya kos minima ketika melawat. Tempat-tempat begini sememangnya ada, antaranya,

Bermain-main dengan rusa di Nara = 0 yen.

Di Nara, rusa dibiarkan secara bebas di taman. Ada sahaja rusa melintas jalan di sini
Kredit Foto: Gee
Melawat istana Kyoto = 0 yen.

Dari pintu hadapan istana Kyoto
Kredit Foto: Gee

Melawat ladang Wasabi Daoi di Azumino = 0 yen.

Batas-batas wasabi yang ditanam di dalam sungai yang mengalir
Kredit Foto: Gee

Bermain-main di tengah-tengah sungai di Kyoto = 0 yen.

Kredit Foto: Gee

Melawat tokong-tokong yang banyak di Jepun = 0 yen.

Tokong di Ise
Kredit Foto: Gee

19 - Kerja Sukarela di Hostel atau di Ladang

Tip tambahan namun kami tidak buat adalah bekerja secara sukarela di hostel. Ini dibuat oleh teman sebilik kami ketika menginap di Matsumoto Backpackers. Dia dapat tinggal di situ secara percuma asalkan pada siang hari, dia membantu Brian mengemas bilik tidur, menyapu laman rumah, dan mencuci bilik air.

Kata Brian, pemilik hostel Matsumoto Backpackers, "Sebenarnya ini pertama kali saya buka peluang untuk orang luar membantu saya walaupun selalu ada yang bertanya. Sebabnya, isteri saya sedang sarat mengandung. Jika tidak, saya dan isteri sahaja yang melakukan tugas-tugas di hostel ini."

Perkara ini juga diamalkan seorang wanita dari Hong Kong saat kami bertemu dia di Hida-Takayama, sebuah destinasi Jepun di Gifu Prefecture yang terkenal dengan daging Hida.

Lalu, jangan segan dan tanya kepada pemilik hostel adakah mereka memerlukan tenaga sukarela secara percuma. 

Apa yang penting, biar apa cara kita ke Jepun, asalkan kita menikmati sepuas-puasnya perjalanan kita, seperti kami.

Waida dan Gee menikmati teh Jepun.
Kredit Foto: Gee

Waida Yusof,
8 November 2015
KL