May 26, 2014

Pelajaran dari Kemboja

Komunikasi dengan orang asing di negara asing, tidak perlu perkataan kompleks dan panjang. Cukuplah tahu sekadar yang ringkas bagi memulakan perbualan. Andai hati kita terbuka mahu mengenali dan berbual dengan orang itu, mesej kita pasti sampai ke hatinya.

Itulah pelajaran saya terima dari Kemboja.

Dan begitulah saya mengenali anak cilik ini di Kemboja 2 Mei lalu.


Dia malu-malu, namun pandai berposing. Kemudian, dia akan berlari mengejar adik-adiknya di Maahad Tahfiz di Kampung Breybih, Phnom Penh itu. Sekali sekala kami berpandangan, dia pasti akan tersenyum manis.

Teringin sekali mengetahui nama anak kecil ini hingga ayah kanak-kanak ini mengajar saya sepatah perkataan Khmer yang ringkas.

'(niak) ch'muah ei'
(Cara menyebutnya 'ce-moh-ey'.)

Kata ayahnya, "(Itulah perkataan) 'apa nama kamu' dalam bahasa Khmer."

Akhirnya, tahu juga saya nama dia, iaitu Zainuddin.

Selepas itu, seronok pula lensa kamera saya mengikut pergerakan dia, terutamanya ketika Zainuddin bermain dengan adik dan sepupunya dari Malaysia.


Melihat mereka bertiga bermain tanpa si Aisyah dari Malaysia faham sepatah pun bahasa Khmer, seolah-olah membenarkan pelajaran yang saya terima.

Terima kasih Zainuddin atas pelajaran tidak ternilai ini.

Waida Yusof,
26 Mei 2014
KL

May 11, 2014

99 Cahaya di Langit Eropah

Hati ini senang sekali membaca buku '99 Cahaya Di Langit Eropa' tulisan Hanum Salsabiela Rais dan suaminya Rangga Almahendra.

Kredit Foto: HanumRais.com

Seolah-olah, buku ini menjawab persoalan mengapa saya mengembara.

Antara yang tertulis dalam buku ini, di mana cikpuan Hanum memetik kata-kata Paulo Coelho dari The Alchemists.

"Pergilah, jelajahilah dunia, lihatlah dan carilah kebenaran dan rahsia-rahsia hidup. Nescaya jalan apapun yang kau pilih akan mengantarkanmu menuju titik awal.

Sumber kebenaran dan rahsia hidup akan kau temukan di titik nol perjalananmu. Perjalanan panjangmu tidak akan mengantarkanmu ke hujung jalan, justeru akan membawamu ke titik permulaan.

Pergilah untuk kembali, mengembaralah untuk menemukan jalan pulang. Sejauh apapun kakimu melangkah, engkau pasti akan kembali ke titik awal."


Ya, pergilah untuk kembali. Kembali menemui Tuhan kita.

Amin :)

Waida Yusof,
11 Mei 2014
KL

PS: Buku 99 Cahaya di Langit Eropa juga sudah dibawakan ke bentuk filem. Di bawah ini adalah trailer filem 99 Cahaya di Langit Eropa.