Posts

Showing posts from August, 2012

Sistem Keretapi di Belanda

Image
2011, saya ke Amsterdam dan menaiki tram sahaja. 2012 pula, saya ke Amsterdam dan Maastricht di Belanda. Kali ini, menaiki sprinter dan Intercity pula. Selepas kejadian sesat dan terlajak, baru saya memahami serba sedikit sistem keretapi di sini. Ringkasnya, ada 5 jenis sistem keretapi. 1. Metro - serupa LRT bawah tanah di negara kita. 2. Tram - serupa LRT, tetapi di atas jalan raya. Tiket tram dengan konsep masa ( kredit foto ) 3. Sprinter - keretapi dengan trek khusus (serupa komuter) Saya gunakan sprinter ketika mahu ke Zaanse Schans ( kredit foto ) 4. Intercity (IC) - keretapi antarabandar. Laju dengan perhentian terhad di bandar besar. Naik keretapi ini jika mahu jimat wang tambang! (bagi perjalanan jarak jauh) ( kredit foto ) 5. Fyra - keretapi laju jarak jauh tanpa henti. Naik keretapi ini jika mahu jimatkan masa perjalanan (bagi perjalanan jarak jauh) ( kredit foto ) (Boleh dikatakan rata-rata bandar di Eropah juga menggunakan sistem keretapi seper

Apa Souvenir Popular di Malaysia?

Dua tiga hari ini, saya berulang-alik ke pejabat pos. Menghantar poskad kepada sahabat baru di Belarus, Poland, USA, Rusia dan Ukraine :) (Gara-gara menyertai projek PostCrossing.com ) Seorang sahabat baru saya di Rusia memohon saya menulis cenderamata popular di negara ini ketika menghantar poskad kepadanya. Termenung saya memikirkannya. Ya. Apa cenderamata paling popular di Malaysia? Kata Vika, Rusia terkenal dengan matryoshkas . Praha pula terkenal dengan anak patung marionette . Lalu, Malaysia pula apa? (Pada mulanya, saya mahu membalas, makanan kami lebih popular daripada cenderamata. Hehe) Akhirnya, saya membalas, "Kain Batik" :) Dan, menambah di bawah, "Cenderamata popular kami sebenarnya mengikut negeri. Lain negeri lain cenderamatanya." Waida Yusof 29 Ogos 2012 Kuala Lumpur

Kapten Bas di Singapura

"Lihat pada dinding bas itu!" Saya menjerit kepada teman sekembara, Gee. Serentak itu, dia menoleh. Walau menoleh, tangannya tidak pernah lepas memegang kamera DSLR-nya itu. Pada dinding itu, terlihat sekeping notis bertulis "Kapten Bas". Ya, Kapten Bas dan bukan Pemandu Bas. Sungguh, saya tahu kini, bagaimana memuliakan satu jawatan yang dianggap rendah pada mata manusia. Semuanya hanya dengan kata-kata. Fikir-fikir, andai pemandu kapal terbang dipanggil juruterbang dan dianggap gah, mengapa tidak pemandu bas juga dipanggil kapten? Waida Yusof 25 Ogos 2012 Bangi, Selangor

Masak Kek Di Kelantan?

Kelantan. Negeri ini sangat dekat dalam jiwa saya. Kerananya, saya menjadi anak dagang buat pertama kali. Setiap kali bercerita tentang Kelantan, antara kisah yang muncul di memori adalah kisah "Baking" di Kelantan. Kisah ini bermula ketika adinda-adinda sedorm asyik berbual sesama mereka, dan terdengarlah perkataan "baking". Kehairanan, lantas, saya bertanya kepada mereka, "Kamu mahu masak kek?" Ketawa adinda-adinda sedorm saya terus pecah! Bergegar seluruh dorm dibuatnya. "Baking" yang saya sangka itu, rupa-rupanya adalah "bekeng"! *Maksud bekeng adalah garang. Waida Yusof 23 Ogos 2012 Bangi, Selangor.

Hari Kidal Sedunia

Hari ini 13 Ogos 2012. Apakah istimewanya 13 Ogos ini? Rupanya, hari ini adalah Hari Kidal Sedunia . Bukan hal ini yang mahu saya tuliskan di sini. Sebenarnya, mengingati hari ini, langsung saya teringat saat saya mahu menyewa kereta di Galway, Ireland. Sebaik ternampak saya menulis dengan tangan kiri, pekedai itu menyebut, " Ki-tel " Begitulah kata-kata itu seakan-akan kedengaran di telinga. Rupanya, pekedai itu menyebut perkataan kidal dalam bahasa Gaelic. Dan, hari ini, saya cuba mencari perkataan ini di Google. Rupa-rupanya, ejaannya adalah Ciotogach Waida Yusof, 13 Ogos 2012 Selangor, Malaysia

Cara Orang Sepanyol Cuti Panjang

Image
Senyum. Tatkala saya terjumpa keratan artikel ini di Internet. Kredit: Almeria Anglo Info (Terjemahan: Apabila cuti umum jatuh pada hari Khamis atau Selasa, sudah menjadi kebiasaan yang orang ramai akan mengambil cuti pada hari Jumaat atau Isnin, supaya mendapat cuti yang lebih panjang...) Saya fikir, hanya orang Malaysia sahaja yang akan buat begini! Waida Yusof, 13 Ogos 2012 Selangor, Malaysia