April 15, 2015

Tentang Sebuah Persepsi

Malam itu, saya tekun memerhatikan lelaki itu dari arah bertentangan.

Melihat dia yang tidak henti-henti menyalin semula karakter Kanji itu satu demi satu.

Perkataan Jepun dalam tulisan kanji
Kredit Foto: Japanese Calligraphy

"Saya tahu, saya mesti kelihatan pelik tampil begini. Tidak begitu?"

Kata-kata lelaki itu pantas mematikan renungan saya, dan membuat saya mendongak memandang raut wajahnya pula.

Kulit wajahnya cerah bersih seperti lelaki Caucasian yang lain. Badannya kurus dan mukanya sedikit lonjong. Namun, apa yang membezakan dia dengan lelaki lain....

Itu benar sekali, iaitu pada penampilannya yang berambut hijau trojan dan bersubang pada muka. Sekali imbas, ada sedikit persamaan dengan remaja-remaja yang kerap menghadiri konsert muzik rock, kecuali pakaiannya kemas sahaja dan tidak koyak di sana sini.

Ada juga membuat saya terfikir sekilas, apakah yang mahu dia tonjolkan kepada orang ramai melalui penampilannya.

Itu "bias" atau persepsi saya yang hadir dalam diam.

Mari teka lokasi ini di mana? Laut atau tasik?
(Latihan tentang sebuah persepsi)

Selepas itu, kami mula berbual-bual tentang hal-hal urusannya di Jepun.

Hal-hal dia datang bercuti ke Jepun bersama kawan bagi memahirkan penguasaan bahasa Jepun. Mereka mengambil subjek bahasa Jepun di universiti di Itali.

Kemudian...

"Jika saya boleh bertanya, adakah kamu muslim?"

Soalan itu yang seterusnya meluncur dari mulut lelaki Itali itu.

Terus, langsung dan tiada selindung dengan nada ingin tahu.

Mungkin rasa ingin tahu yang timbul selepas tinggal serumah dengan orang muslim Mesir di universiti. Malah, dia juga sering berkawan-kawan dengan rakyat Malaysia.

(Rasa ingin tahu dia itu tekaan saya sahaja.)

Apa yang saya pasti tentang lelaki ini, pengetahuannya tentang Islam bukan sekadar di pinggiran. Malah, tidak hairan juga jika pengetahuannya melebihi kebanyakan dari kita.

Jadi malam itu, bukan dia sahaja yang belajar, tetapi saya juga, iaitu belajar menahan diri dari terlalu cepat membina persepsi.

Waida Yusof,
15 April 2015
Sarawak

April 5, 2015

Ranah Sarawak Itu Luas, Boi!

"Kamu berasal dari bahagian mana di Sarawak?"

Rumah lama di tepi jalan yang dijumpai ketika meronda-ronda dengan kereta

Itu soalan favorit saya sekarang sebaik bertemu orang tempatan. Kemudian, saya akan membuka peta, melihat lokasi tempat itu berada.

Ketika bertemu Encik J misalnya, soalan itu membuat saya berkenalan dengan tempat bernama Saratok.

"Kamu tahu di mana Saratok itu?" tanya Encik J.

Saya menggeleng.

Mengikut Encik J, Saratok ke Kuching sahaja sudah lebih kurang 300km jauhnya.

Terus saya mencongak jarak perjalanan dari rumah ke kampung halaman di Perak. Andai mengikut lebuh raya PLUS, 300km jika dari Kuala Lumpur, sudah boleh sampai di Pulau Pinang!

Di sini, 300km berkereta masih lagi berada di dalam Sarawak. 

Itu pun, bandar terdekat Saratok iaitu Sibu belum pun mencecah separuh dari "panjang" negeri Sarawak.

Belum lagi kita cerita tentang berkereta dari Kuching ke Miri yang memakan masa hampir 12 jam. 

Belum termasuk cerita tentang Limbang yang kita harus keluar masuk Brunei untuk sampai ke sana. 

Perkara ini membuat saya sedar sememangnya Sarawak ini sebuah ranah yang luas dari segi geografinya.

Waida Yusof,
5 April 2015
Sarawak

PS: Duduk di sini membuat saya menambah satu lagi angan-angan road trip, iaitu berkereta dari Kuching ke Kota Kinabalu :D