April 15, 2015

Tentang Sebuah Persepsi

Malam itu, saya tekun memerhatikan lelaki itu dari arah bertentangan.

Melihat dia yang tidak henti-henti menyalin semula karakter Kanji itu satu demi satu.

Perkataan Jepun dalam tulisan kanji
Kredit Foto: Japanese Calligraphy

"Saya tahu, saya mesti kelihatan pelik tampil begini. Tidak begitu?"

Kata-kata lelaki itu pantas mematikan renungan saya, dan membuat saya mendongak memandang raut wajahnya pula.

Kulit wajahnya cerah bersih seperti lelaki Caucasian yang lain. Badannya kurus dan mukanya sedikit lonjong. Namun, apa yang membezakan dia dengan lelaki lain....

Itu benar sekali, iaitu pada penampilannya yang berambut hijau trojan dan bersubang pada muka. Sekali imbas, ada sedikit persamaan dengan remaja-remaja yang kerap menghadiri konsert muzik rock, kecuali pakaiannya kemas sahaja dan tidak koyak di sana sini.

Ada juga membuat saya terfikir sekilas, apakah yang mahu dia tonjolkan kepada orang ramai melalui penampilannya.

Itu "bias" atau persepsi saya yang hadir dalam diam.

Mari teka lokasi ini di mana? Laut atau tasik?
(Latihan tentang sebuah persepsi)

Selepas itu, kami mula berbual-bual tentang hal-hal urusannya di Jepun.

Hal-hal dia datang bercuti ke Jepun bersama kawan bagi memahirkan penguasaan bahasa Jepun. Mereka mengambil subjek bahasa Jepun di universiti di Itali.

Kemudian...

"Jika saya boleh bertanya, adakah kamu muslim?"

Soalan itu yang seterusnya meluncur dari mulut lelaki Itali itu.

Terus, langsung dan tiada selindung dengan nada ingin tahu.

Mungkin rasa ingin tahu yang timbul selepas tinggal serumah dengan orang muslim Mesir di universiti. Malah, dia juga sering berkawan-kawan dengan rakyat Malaysia.

(Rasa ingin tahu dia itu tekaan saya sahaja.)

Apa yang saya pasti tentang lelaki ini, pengetahuannya tentang Islam bukan sekadar di pinggiran. Malah, tidak hairan juga jika pengetahuannya melebihi kebanyakan dari kita.

Jadi malam itu, bukan dia sahaja yang belajar, tetapi saya juga, iaitu belajar menahan diri dari terlalu cepat membina persepsi.

Waida Yusof,
15 April 2015
Sarawak

2 comments: