February 4, 2014

Anekdot Luar Negara

Entri yang mahu ditulis pada Tahun Baru Hijrah sebenarnya :)

Kadangkala, kita mungkin "take things for granted" sehinggalah tersedar perkara kita ada itu rupanya bukan sesuatu yang biasa.

Gambar gelongsor yang diambil di tepi sebuah sungai di Lyon

Biasa bagi kita, mungkin tidak biasa bagi orang lain.

Tempoh hari, saya mendengar cerita tentang sebuah negara yang pernah berada di bawah pentadbiran Kesatuan Soviet dan berhampiran Laut Caspian.

Kata ketua saya yang mengulangi kisah kawannya, "Di sana, ketika Presidennya berada di jalan raya, semua penduduk akan cepat-cepat menutup tingkap. Jika lambat, laju sahaja senapang diacu ke arah tingkap yang masih terbuka."

Dia menambah lagi, "Pernah sekali, rumah kawan saya didatangi polis selepas jiran mengadu rumah mereka bising (walaupun bunyi bising itu berpunca dari suara anak-anak)."

Rakan saya pula berkongsi pengalamannya bekerja di sana dua tahun. "Warga luar tidak boleh keluar rumah selepas jam 12. Pernah terjadi, ada polis menunggu ketua saya kerana keluar rumah selepas had masa itu."

Katanya lagi, "Perempuan warganegara sana pun tidak boleh berkahwin dengan rakyat luar. Jika mereka curi-curi berkahwin di luar negara, apabila pulang ke sana, wanita itu akan dilarang keluar negara."

0_0

(Itu sahaja reaksi yang termampu saya buat tatkala mendengar semua ini.)

Lantas, teringat kepada pemandangan askar-askar berpatrol sambil memegang senapang di stesen Metro di Perancis.

Benarlah kata orang, "Apa yang biasa bagi mereka, belum tentu biasa bagi kita."

Waida Yusof
5 Nov 2013
1 Muharram 1435 Hijrah

PS: Apa yang diceritakan di atas adalah anekdot atau cerita peribadi semata-mata, mengikut perspektif pencerita dan tidak terlindung daripada sebuah pandangan yang bias. Ia juga tidak melambangkan keseluruhan cerita sebenar tentang sesebuah negara.

PSS: Terakhir yang saya baca, Presiden negara yang dimaksudkan dalam entri ini sudah pun bertukar.

No comments:

Post a Comment