January 13, 2013

Vietnam Yang Kurus Dan Tinggi


"Kali ini, kita mesti tanya Duc mengapa bangunan di sini kurus dan tinggi."

Saya dan Qilah memasang azam sebelum perjalanan seharian ke Teluk Ha Long dari Hanoi itu berakhir.

Kesempatan itu datang usai makan tengahari di atas bot dan selepas melawat Gua Heaven Palace. Duc adalah pemandu pelancong freelance dalam rombongan kami. Dia juga fasih berbahasa Inggeris.

Duc membalas soalan kami dengan jawapan ringkas, "Kami kekurangan tanah. Tanah juga mahal di sini."

Kurang berpuas hati dengan jawapan Duc, saya menambah, "...namun, rumah di sini tidak juga dibina rapat-rapat..." sambil merujuk kepada rumah kurus dan tinggi dalam perjalanan ke Ha Long dari Hanoi tadi.

Duc senyum sebelum membalas, "Luas Malaysia dan Vietnam sebenarnya lebih kurang sama. Namun, lebih separuh daripada tanah kami adalah gunung-ganang. Penduduk Malaysia lebih kurang dua puluh juta, bukan?"

Saya dan Qilah mengangguk.

"Penduduk Vietnam pula hampir sembilan puluh juta. Jadi, biarpun kami kekurangan tanah, kami (orang Vietnam) tidak suka tinggal di apartmen. Kami tetap suka rumah di atas tanah. Lantas, solusi terbaik adalah membina rumah yang kurus dan tinggi!"

Waida Yusof,
13 Jan 2013
KL

No comments:

Post a Comment