January 12, 2013

Tips Melancong Serata Dunia

Pada mulanya, kami sekadar berbalas senyuman. Tanda menghormati beliau yang duduk di sebelah rakan kami di dalam "coaster" (bas pendek).

Ketika itu, kami menyertai rombongan ke Terowong Chu Chi (sebutannya Ku - Ci) yang dibeli dari ejen pelancongan setempat.

Tiba-tiba lelaki tua itu menegur kami. Itu pun hanya selepas saya dan kawan-kawan berbual sesama sendiri dalam bahasa ibunda.

Kata beliau dengan pelat Cina, "Saya tidak berani tegur kalau kamu semua tidak bercakap Melayu."

Selepas itu, perbualan demi perbualan berlanjutan, terutamanya dengan Qilah, kawan seperjalanan yang duduk di sebelah beliau. 

Walaupun berbual panjang, tetap juga tidak tahu nama beliau

Saya yang duduk di sebelah Qilah hanya mendengar sahaja perbualan mereka sehingga akhirnya saya membuat beberapa kesimpulan.

Kesimpulan Satu: Walaupun tanam sayur, tetap boleh juga melancong ke serata dunia.

Lelaki Cina ini kerjanya dahulu menanam sayur di Menglembu, namun sudah pun sampai di Itali. Tahun 2013 ini sahaja, selepas ke Vietnam akan ke Indonesia dan Taiwan pula.

Kesimpulan Dua: Benarkan anak ke luar negara kemudian pergi melancong ke tempat anak itu belajar atau bekerja, biarpun di Singapura.

Dek ingin tahu selepas lelaki Cina ini asyik bercerita yang anaknya ada di merata-rata tempat, kami pun bertanya berapa orang anaknya. "Lima, " kata beliau.

Kesimpulan Tiga: Walau di luar negara, gunakan bahasa ibunda dan kita akan temui sesuatu yang unik (seperti kisah saya dan rakan dengan lelaki Indonesia di Jerman).

Waida Yusof,
12 Jan 2013
KL

PS: Jika ada rakan-rakan yang mengenali lelaki Cina yang berasal dari Ipoh ini, mohon hubungi saya. Saya dan rakan-rakan berhutang harga peluru ketika di Terowong Chu Chi. Seronok menembak sehingga terlupa duitnya belum dibayar T__T

No comments:

Post a Comment