October 20, 2013

Malam Tragis Bersama Keretapi di Swiss

Ini adalah entri sambungan dari Lausanne Itu Bukan Luzern.

Berpuluh-puluh tapak di hadapan, tiga lelaki berpakaian seragam asyik berbual di tepi keretapi.

Gambar ini diambil ketika tiba di Stesen Keretapi Geneve sehari sebelumnya

Serentak tanpa kata, kami berdua menapak menuju ke arah mereka.

Cukuplah sekali kami tersilap menaiki keretapi malam ini.

Ia juga pelajaran Geografi yang mahal nilainya. Mahal dan sukar ditebus andai a) kami terpaksa bermalam di Luzern b) dan seterusnya, terlepas kapal terbang ke Barcelona, Sepanyol.

Destinasi seterusnya dan terakhir kami malam itu adalah Geneve (Geneva).

Keretapi yang akan kami naiki itu juga mungkin keretapi terakhir ke sana. Jadi, kepastian daripada lelaki-lelaki konduktor itu penting kepada kami.

Baru separuh menapak, wisel keretapi ditiup!

Cemas.
Bila-bila masa sahaja, keretapi akan bergerak.

Kami mula berlari, biarpun beg berat di belakang.

Syukur konduktor itu melihat kami. Dia menggesa kami supaya lebih pantas.

Malam itu, moto kami memang 'asal naik' dan 'tidak terlepas lagi'.

Akhirnya, sampai juga kami ke tepi badan keretapi, biarpun itu adalah kabin kelas pertama dan bukan kelas kedua.

Panjat sahaja keretapi, konduktor itu bertanya, "Sebenarnya, kamu mahu ke mana?"

"Lapangan Terbang Geneve. Kami akan terbang ke Barcelona pagi-pagi buta nanti," balas kami.

"Tahukah kamu, keretapi terakhir dari Geneve ke Geneve Airport sudah bertolak untuk malam ini?"

Nampaknya, malam itu adalah malam tragis kami bersama keretapi-keretapi di Swiss.

Waida Yusof,
20 Oktober 2013
KL

No comments:

Post a Comment