October 26, 2013

Cerita Dua Individu Dari Benua Berbeza

Kadang-kadang, bekerja di syarikat multinasional memang ada keseronokannya sendiri. Minggu ini sahaja, saya bertemu dua individu yang unik dengan cerita tersendiri.

Individu #1- Fiona dari Kanada

Kredit Foto: Cara memotong mangga dengan mudah.

Beliau terbang dari Kanada bagi bertemu pelanggan syarikatnya di sebelah Asia, termasuklah Malaysia. Ketika makan tengahari bersama-sama, kami saling bertukar cerita.

Seperti biasa, topik perbualan paling selamat adalah topik cuaca dan juga makanan.

Cerita Fiona, "Keluarga saya berhijrah ke Kanada dari Australia. Tiba di Kanada, kami semua tidak sangka suhu di sini sangat sejuk. Kadangkala, suhu di sini boleh mencecah -100 darjah Celcius!"

Sambil ketawa kecil, Fiona berkata, "Ibu saya kata, mungkin kami sudah buat kesilapan berhijrah ke sini."

(Namun, mereka tetap tinggal di situ sehingga sekarang :) )

Nota: Suhu dalam peti ais sekitar 16 - 20 darjah Celcius sahaja.

Oh ya, buah kegemaran Fiona adalah mangga dan nanas.

Katanya lagi, "Setiap kali saya travel ke negara tropika, saya pasti akan cari mangga. Mangga di Kanada sudah tidak segar kerana terbang jauh dari Mexico."

Individu #2 - Chris dari Scotland

Kredit Foto

Setiap kali teringatkan Chris, pasti saya akan tersenyum sendirian.

Senyum mengingati Chris yang meminati teh tarik Malaysia dan soya cincau serta usahanya mencuba makanan pedas.

Begitu juga kisah beliau bersama biskut shortbread jenama Walker yang dibawa jauh dari Scotland. Biskut Walker ini dihasilkan di kilang yang terletak berhampiran rumah (atau kampung) Chris di Scotland.

Begitu bersemangat sekali Chris membawa buah tangan untuk dimakan bersama peserta kursusnya di Malaysia. Mungkin kerana ini adalah pertama kali beliau tiba di sebelah Timur dunia.

Kata Chris, "Negara paling jauh saya pernah tiba di sebelah Asia adalah Azerbaijan."

Oh Chris, Azerbaijan itu masih berjuta-juta kilometer jaraknya dari Malaysia.

Waida Yusof,
26 Oktober
Malaysia

PS: Entah apalah agaknya reaksi Chris apabila tahu biskut Walker ini sebenarnya ada dijual di Malaysia. Saya harap beliau tidak tahu sehinggalah dia pulang ke Scotland.

PSS: Rupa-rupanya ada kisah heroin Flora McDonald pada pembungkus biskut Walker. Lihat pada gambar lelaki dan wanita di sebelah kiri pembungkus.

No comments:

Post a Comment