May 19, 2013

Lausanne Itu Bukan Luzern

"Selamat tinggal Janet!"

Kami melambai kepada Janet dan keluarganya. Rakan baru berketurunan Peru dari Bern ini kami kenali ketika ke puncak Jungfrau, Swiss siang tadi.

Antara keretapi yang membawa penumpang mendaki puncak gunung Swiss

Kini, tiba masanya kami berlari!

Ya, berlari menuruni laluan dari platform sambil memikul beg di belakang.

Selang masa di antara tren Interlaken - Bern dan Bern - Lausanne malam itu hanyalah berjarak 10 minit. Apatah lagi, kami tidak mengetahui platform mana satukah yang akan kami naiki nanti.

Sedang kami berlari, saya menjerit pada Khuzai, "Lihat pada papan informasi sana! Mari cari platform keretapi ke Lausanne."

Langkah kami semakin melaju.

Sepantas kilat mata kami memeriksa baris demi baris di papan informasi itu. Mencari perkataan "Lausanne" di situ.

Namun, tiada langsung perkataan Lausanne di situ, sehinggalah...

"Ada tren ke Luzern! Luzern atau Lausanne mungkin serupa. Mari ke platform X (baca: lupa platform-nya)!"

Tanpa berlengah, kami berlari ke platform yang sepatutnya. Syukur, tren itu masih belum bergerak, lalu kami memanjat tangga dan naik ke gerabak atas.

Akhirnya, tiba masa kami berehat seketika. Sejam lagi keretapi ini akan tiba di Lausanne. Justeru, saya melepaskan beg sandang dan membuka bekal makanan.

Namun, sejak memasuki gerabak, Khuzai diam sahaja di kerusinya.

Tiba-tiba, dia membuka peta Jungfrau yang kami guna siang tadi.

"Waida, Luzern itu Luzern, bukan Lausanne!"

Lucerne/Luzern di sebelah timur, manakala Lausanne di sebelah barat

Waida Yusof,
19 Mei 2013
KL

PS: Sambungan kepada entri ini: Malam Tragis Bersama Keretapi di Swiss.

No comments:

Post a Comment