May 21, 2013

Ho Chi Minh di Hanoi

Ya, Ho Chi Minh di Hanoi.

Malah, kami juga ber"temu" beliau secara tidak sengaja pada pagi di bulan Januari itu.

Semuanya bermula apabila Qilah mengajak kami ke Mausoleum Ho Chi Minh ketika kami backpack di Hanoi, Vietnam.

Barulah saya tahu, bandar Ho Chi Minh itu dinamakan sempena seorang tokoh di Vietnam. Ya, tokoh yang bernama Ho Chi Minh itu. Sebenarnya, nama asal bandar Ho Chi Minh adalah Saigon, atau ejaan Vietnamnya Sai Gon.

Cadang Qilah pagi itu, "Kita menaiki teksi dahulu ke sana. Selepas itu, kita ke Van Mieu (Temple of Literature), masjid Al-Noor dan akhir sekali pulang berjalan kaki ke hotel."

Kami bertiga setuju. Lalu, Cik Thuy, pemilik Hotel Hanoi Old Centre membantu memanggilkan teksi untuk kami.

Jam sudah hampir 12 tengahari sewaktu kami tiba di Dataran Da Binh. Namun, suasana di situ lengang dan muram. Suhu pula sekitar 11 ke 13 darjah. Bulan Januari memang bulan musim sejuk di Hanoi.

Sebaik melepasi pintu masuk Mausoleum, kami terpinga-pinga menyertai barisan orang beratur. Rupa-rupanya, orang beratur bagi melihat makam Ho Chi Minh.



Sangka kami, kami sudah terlepas bagi memasuki makam itu. Malah, barisan kami adalah barisan terakhir yang dibenarkan masuk pada hari itu.

Adakah itu yang dinamakan rezeki (atau tidak)?

Pemeriksaan ketat dilakukan pada setiap pelawat, umpama berada di lapangan terbang. Selepas itu, barulah kami dapat menghampiri bangunan ini. Namun, jangan cuba-cuba mendekati bangunan dari arah selain pintu. Jika tidak, percuma sahaja di-wisel belasan askar yang berkawad di sekeliling bangunan ini, walaupun baru setapak maju.

Sejujurnya, itu pertama kali saya melawat mausoleum atau makam. Apa yang terbayang dalam fikiran saya adalah binaan atau papan tanda bagi menghormati si mati.

Tanpa diduga, kami benar-benar ber"temu" beliau. Malah, dapat pula melihat secara dekat "badan" beliau yang disemadikan dalam sebuah kotak kaca.

Oh, Tuhan...
Kasihan melihat "beliau".
Bukan di situ tempat "beliau" melainkan di tanah, tempat pulang sebaik-baik kejadian.

Pantas sahaja langkah kami berempat di situ. (Kecut perut juga mahu memandang lama-lama).

Waida Yusof,
21 Mei 2013
KL

No comments:

Post a Comment