May 13, 2013

Belasungkawa Haji Ghazali



"Cool betul datuk kamu."

Itu kata-kata sahabat baik saya semasa kami memulakan kembara akhir Mac lalu.

Ya, datuk siapakah yang akan relaks sahaja melihat cucu perempuan sulungnya berkelana dua orang di bumi Barat?

Beliau langsung tidak marah-marah. Malah, ada kata-kata tambahan pula. "Baguslah pergi sekarang. Sudah kahwin nanti, susah juga mahu berjalan-jalan."

Ya, datuk yang sama juga memberitahu ibu beliau ciri-ciri bakal isteri beliau. "Tidak pandai memasak tidak mengapa. Tidak pandai menjahit pun tidak mengapa. Semua itu boleh dipelajari. Yang penting, mesti pandai (boleh berfikir)".

Nenek (arwah) saya sungguh bertuah. Itu fikir saya ketika mendengar To'ki bercerita hal ini Raya tahun lalu. Semuanya diusahakan To'ki supaya Opah dapat belajar sehingga cucu yang satu ini tetap merindui kuih kapal (tepung talam) dan karipap hasil air tangan Opah.

Ya, datuk yang sama juga mencatat setiap nama tempat yang dikunjungi serta peristiwa yang berlaku beserta tarikh ketika melancong bersama-sama keluarga.

Malah, tatkala cucu ini melihat datuk yang satu ini menyalin reka bentuk chalet yang diduduki ketika ke Sabah lima tahun lalu, cucu ini terus "angkat bendera putih" dalam hal catat-mencatat.

Ya, datuk yang sama juga meluahkan keinginan beliau mahu melawat Vietnam walaupun sudah berusia hampir 80 tahun.

Sehingga saya sudah terbayang-bayang beliau akan bertanya situasi orang Islam di sana, tatkala mahu membeli buku visual "The Alhambra and Granada" di Sepanyol. Buku yang pasti membuat beliau gembira apabila melihat adanya tulisan dari Al-Qur'an di dalam kota Alhambra.

Ya, datuk yang sama juga bercerita mahu membeli laptop dan belajar komputer semula, walaupun sudah lupa apa cucu ini tunjukkan bertahun-tahun dahulu.

Ya, datuk yang sama juga menitipkan kata-kata ini, "Ke mana-mana pun kita pergi, jangan lupa untuk bersolat."

Tanpa diduga, rupanya itu adalah pesanan terakhir beliau untuk saya. Pesanan daripada seorang datuk kepada cucu sebelum saya dan kawan keluar mengembara pada akhir Mac lalu.

Dan 4 Mei lalu, beliau atau Haji Ghazali menghembuskan nafas terakhirnya di sisi keluarga tercinta.


(Sumber: Andaluciabooks.com)

Pastinya,melihat buku Alhambra ini, saya akan selalu terkenang beliau.

Al-Fatihah.

Waida Yusof,
13 Mei 2013
KL

No comments:

Post a Comment