December 26, 2012

Rakyat Malaysia Kaki Shopping?

Benar. Adakah rakyat Malaysia memang kuat membeli-belah?

Cuci mata dengan deretan beg trendi dan murah di Ireland

Penemuan ini saya sedari ketika berbual-bual dengan lelaki Macedonia yang bekerja di sebuah kedai cenderamata di Prague, Republik Czech.

Sejauh-jauh tempat yang saya pergi, mudah sahaja pembantu kedai di Prague itu mengecam kami sebagai rakyat Malaysia, walaupun saya tidak membeli apa-apa pun di kedainya.

Telahan saya, mungkin rakyat Malaysia antara pengunjung tetap di kedainya yang terletak tidak jauh dari Jambatan Charles itu.

Sekali lagi, perkara ini mengundang senyum di hati saya ketika berbual-bual dengan "supir" kami ketika di Bandung, Indonesia.

Cerita Pak Supir, "Yang sering datang ke sini ada dua jenis. Jenis yang pertama, banyaknya orang Malaysia. Paling tinggi datangnya sebelum bulan Ramadhan dan Syawal. Biasanya, mereka mahu ke tempat belanja. Lalu, mereka mahu ke Toko Tiga, Pasar Baru, pusat kulit, kedai minyak wangi dan lain-lain."

Kata Pak Supir lagi, "Kumpulan yang kedua pula dari Belanda atau Eropah. Selain melancong, mereka juga mencari sanak saudara jauh ketika zaman pendudukan Belanda. Mereka pula mahu jalan-jalan tengok pemandangan."

Dan, malam ini tiba-tiba saya mendapat pencerahan. Mungkin rakyat Malaysia (dipersepsi) kuat membeli-belah kerana kami rakyat yang murah hati membelikan ole-ole buat sanak saudara dan teman-teman.

Ya, mungkin sahaja.

Apa pun, saya tetap suka menerima ole-ole dari teman yang berkunjung ke sesuatu tempat :)

Waida Yusof,
25 Disember 2012
KL

No comments:

Post a Comment