November 14, 2012

Titik Hitam Dalam Mengembara

Cerita perjalanan itu sebenarnya, bukan yang indah-indah sahaja. Ada juga sisi yang kurang manisnya.

Ketika berlaku, Tuhan sahaja yang tahu betapa berdebarnya hati kami. Namun, ketika dikenang kembali, peristiwa ini rupanya memberi warna kepada sebuah pengembaraan itu.

Acapkali, perjalanan saya sama ada seorang diri, berdua atau bertiga. Selalunya bersama perempuan sahaja.

Peristiwa Pertama

Pita kebab terbaik yang dijual di kedai "Halal Fast Food"

Pernah sekali, ketika di Munchen (Munich), Jerman, saya dan dua orang kawan memesan makanan segera halal (baca: fast food kebab) dari sebuah kedai kecil. Sedang kami menunggu, seorang lelaki dengan rambut tegak bercacak seperti besi cerucuk masuk ke kedai itu.

Dia cuba berbual-bual dengan salah seorang rakan saya, namun, rakan saya melayan hanya sekadarnya sahaja. Tidak beria-ia, tidak pula bersikap dingin.

Tiba-tiba, dari belakang kaunter, saya ternampak pemilik kedai makanan itu menjeling ke arah kami, sambil memberi isyarat tentang "sesuatu". Sayangnya, kami bertiga langsung tidak memahaminya.

Selepas lelaki rambut bergerigi itu berlalu, barulah pemilik kedai itu berkata, "Dia orang jahat," sambil melalukan tangan di atas lehernya tanda "kerat leher".

Kami hanya terdiam dan tidak terkata apa-apa.

Syukur kepada Tuhan kerana kami bertemu dengan tauke kedai yang baik itu. (Dua tiga hari kami berada di Munchen, memang kedai dia sahaja yang kami tuju dek rasa kebabnya yang menduduki takhta pertama setakat ini).

Tauke kedai di Munich dengan rasa kebab terbaik!

Peristiwa Kedua

Peristiwa satu lagi berlaku ketika kami berada di Praha (Prague), Republik Czech, selang dua, tiga hari selepas kejadian pertama.

Di Praha hlavni nadrazi, stesen keretapi utama Prague

Saat itu, kami bertiga menaiki metro di bandar ke Pension Platan, iaitu rumah tumpangan kami di Praha. Sedang kami berdiri berdekatan pintu, seorang lelaki berambut trojan mendekati rakan saya sebelum dia berlalu.

Serentak, wajah rakan saya berubah tegang.

Selepas kami tiba di stesen, rakan saya membuka cerita. Rupa-rupanya lelaki itu berbisik "Setan!" kepadanya.

Sekali lagi, syukur kepada Tuhan. Peristiwa itu hanya setakat itu. Tidak lebih dari itu.

Namun, saya percaya peristiwa-peristiwa ini tidak melemahkan semangat kami berjalan lebih ligat! 

(Sebenarnya, dalam banyak-banyak negara yang saya kunjungi, Praha di Republik Czech adalah antara bandar yang saya rindu ingin mengunjunginya sekali lagi.)

Apakah peristiwa buruk yang pernah rakan-rakan alami ketika mengembara?

Waida Yusof,
14 Nov 2012
Bangi

No comments:

Post a Comment