March 2, 2013

Aqui Maastricht, Rumah Sewa Mesra Alam

"Selamat datang ke Maastricht."

Seorang wanita berusia menyambut kedatangan kami di hujung anak tangga. Saya mendongak ke atas. Tangga berpilin-pilin dan tinggi melangit terbentang di hadapan kami. Tangga yang sinonim dengan rumah-rumah di Belanda.

Mujurlah saya menempah bilik di tingkat pertama Aqui Maastricht ini.

Melihat saya berpaling kepada beg, pantas Annemiek, wanita berusia namun kekal cantik itu berkata, "Biarkan sahaja beg kamu di situ. Saya akan minta orang angkatkan bagasi kamu nanti. Sementara itu, mari saya tunjukkan bilik kamu."

Kami menaiki tangga. Rupa-rupanya, tingkat satu yang disebut itu adalah tingkat dua. Sekali lagi, bersyukur tidak menempah bilik di tingkat tiga. Jika tidak, kasihan sekali kepada ibu (dan saya juga).

Annemiek membuka pintu bilik berwarna putih itu.



Wah, bilik ini seperti bilik showroom IKEA!

Agaknya, Annemiek memang peminat barang-barang IKEA. Itu telahan awal saya.

Rupa-rupanya, memang benar. Cawan-cawan di dapur memang dibeli di IKEA. Oh ya, dapurnya adalah dapur berkabinet putih yang sedang dibuka dalam gambar. Unik dan menjimatkan ruang. (Boleh pinjam idea ini untuk rumah kalian sendiri jika mahu).

Kemudian, Annemiek mengajak kami mendekati dapur kecil comel itu.



Diterangkan serba sedikit cara menggunakan dapur sebelum sebuah bekas plastik putih biru (dalam gambar) diambil dari rak teratas.

Kata Annemiek, "Selesai bancuh kopi dengan mesin pembancuh, mohon masukkan bekas serbuk kopi ke dalam bekas plastik ini. Saya akan kitar semula semua bekas serbuk kopi itu."

Bekas serbuk kopi itu memang kecil sahaja. Rupanya seperti bekas menyimpan jem atau mentega yang sering dijumpai di hotel-hotel.

Kagum saya dengan filosofi suami isteri ini. Tetamu yang menginap di Aqui Maastricht juga dipelawa menyertai kempen kitar semula yang mereka lakukan.

Sebelum berpisah, sekali lagi wanita Belanda ini mengejutkan kami.

"Adakah kamu berdua bercakap dalam bahasa Melayu?"

Serentak kami berpandangan.

(Mujurlah saya tidak berkata yang tidak sepatutnya)

Saya mengangguk lalu Annemiek menyambung, "Ibu bapa saya lahir di Indonesia, jadi saya faham serba sedikit bahasa Melayu."

Ternyata, wanita ini memang penuh kejutan.

Waida Yusof,
2 Mac 2013,
KL

No comments:

Post a Comment