October 7, 2012

Lelaki dari Tangkuban Perahu Itu

Lelaki itu tega mengikut kami dari belakang sambil menjinjing barang bawaannya. Tasbih-tasbih dan gelang-gelang yang diperbuat daripada batu tempatan yang berwarna hitam.

Pada awalnya, saya tidak mempedulikan kehadirannya. Namun, dia tetap setia mengikut kami dari belakang.

Kawah Ratu, Tangkuban Perahu, Bandung, Indonesia
(Ya, itu asap dari gunung berapi yang masih "hidup")

Saat kami mendaki laluan bertangga di Tangkuban Perahu itu, dia setia menjadi penunjuk jalan.

Saat kami bergilir-gilir bergambar, dia pasti menawarkan diri mengambilkan gambar buat kami.

Saat kami berbincang sesama sendiri, dia pasti menyampuk memberi informasi tanpa diminta.

Akhirnya, saya tidak mampu lagi berbuat tidak peduli kepada kewujudan lelaki ini, biarpun sudah dipesan supir (pemandu) awal tadi supaya berpura-pura tidak sedar kewujudan mereka.

Mungkin kata-katanya, "Saya hanya dapat datang ke sini seminggu sekali. Selain saya, ada 1999 orang yang berdaftar bagi tugas ini," yang membuat saya akhirnya bercakap-cakap juga dengan dia.

Namanya Febi. Raut wajahnya bersih dan cerah. Sekali pandang, rupanya seakan-akan pelakon sinetron Indonesia.

Umurnya mungkin sekitar awal dua puluhan. Biarpun muda, namun, dia lebih matang daripada rakan seusianya dari Malaysia.

Antara beberapa kata-katanya yang saya masih ingat.

"Di Indonesia, kami bersekolah, berkahwin, bekerja dan kemudian mengumpul duit. Di Malaysia, bersekolah, bekerja, mengumpul duit baru berkahwin. Begitukah?"

"Prinsip hidup saya, saya sudah cukup senang (hati) apabila keluarga saya sihat. Biar badan sihat dan hati tenang. Jika kaya, hidup tidak sihat pun, duit akan habis juga."

"Di sini, sekolah memerlukan belanja yang banyak. Setahun perlu bayar 10 juta Rupiah."

Tanpa saya sangka, Febi sudah berkahwin dan mempunyai anak berusia 10 bulan.

Dan, akhirnya, saya membeli juga barang jualannya itu.

Waida Yusof,
7 Oktober 2012
Bandung, Indonesia

4 comments:

  1. :))

    Semasa saya ke sana 6 tahun yang lepas, tour guide ada bercerita tentang mitos di sebalik terbentuknya Tangkuban Parahu...tapi saya tak berapa ingat ceritanya...sayang betul...huhu

    ReplyDelete
  2. Aduh, sayangnya.

    Saya ingin ke sana sekali lagi sebenarnya. Mahu pusing keseluruhan Tangkuban Perahu dan turun ke kawah kecil itu :D

    ReplyDelete
  3. Saya pun teringin ke sana sekali lagi. Ada orang mengajak pergi pada bulan Disember ini tapi tidak dapat dipenuhi kerana ketandusan cuti..hihi~

    ReplyDelete