January 14, 2014

Tuaran dan Sisi Kehidupan

Tuaran di Sabah.

Andainya bukan atas urusan kerja, pasti tidak terfikir saya akan tiba di sini.

Ter"kurung" di hotel yang sejam perjalanan dari bandar selama empat hari memang bukan cara ideal mengenali Tuaran.

Namun, benar kata orang, "Momen indah itu datang saat kita langsung tidak menjangkakannya."

Tanpa saya duga, Tuaran memiliki sisi indah tersendiri.

Dan, Tuhan rezekikan saya mengenali sedikit sisi Tuaran itu hanya dari satu petang.

Menaiki bot di Sungai Mengkabong

Nota: Mengkabong adalah besar dalam bahasa Bajau.

Menyusuri sungai yang dipenuhi pokok kayu bakau adalah menenangkan.

Kredit Foto: Artid, orang Thailand bekerja di Malaysia

Tanya Amin, pemandu trip kami petang itu, "Tahukah kamu bagaimana pokok bakau membiak?"

Saya menggeleng.

Kata Amin, biji benih pokok bakau panjang-panjang. Sekali imbas, rupanya seperti kacang panjang. Namun, badannya keras.

Apabila tiba masa membiak, biji benih panjang itu akan jatuh tercacak ke dalam sungai. Lalu, bermulalah kehidupan sebatang anak pokok kayu bakau di situ. Kemudian, ia membesar dan anak benih lain pula jatuh ke dalam sungai.

Berulang-ulang peristiwa ini dan terbentuklah sebuah hutan pokok bakau.

Begitu mudah dan ajaibnya ciptaan Tuhan.

Melawat Kampung Air


Kredit Foto: Fazrie, orang Malaysia bekerja di UK

Amin membuka cerita, "Lihat rumah-rumah di tepi tebing sana. Walaupun kerajaan sudah membina rumah baru untuk penduduk di sini, mereka tetap mahu tinggal di sana (merujuk rumah dalam air). Tidak boleh salahkan mereka. Itu sudah menjadi sebahagian dari kehidupan mereka."

Kata Azalia, teman baru berwajah manis, "Tentulah. Rumah asal mereka lebih ber"karakter"."

Ya, benar kata Azalia.

Sudah turun-temurun mereka hidup bertemankan air, masakan perkara itu dapat ditukar ganti begitu sahaja.

Mengayuh ke tebing mengambil air bersih.
Kredit Foto: Artid

Biarpun mereka perlu bersusah payah mengambil air bersih dari tebing minima 6 kali sehari, mereka tetap tega.

Asalkan mereka gembira, sudahlah.

Waida Yusof,
14 Januari 2013
KL

PS: Berfikir idea luar kotak - Pindahkan rumah sedia ada dari tebing ke dalam air. Kemudian, sambung paip air bersih sehingga ke Kampung Air. Boleh jadi tempat pelancongan juga.

No comments:

Post a Comment