January 27, 2016

Tips Menyusun Gambar Travel

Baru hamba sedar gambar-gambar langit yang di"tangkap" sudah boleh dibuat koleksi!

Minggu lepas, hamba menyusun gambar-gambar yang pernah diambil mengikut nama negeri / negara dan tahun bertandang ke sana. 

(Rasanya, banyak lagi kerja lain yang lebih berfaedah tetapi kadangkala kita hanya mahu duduk diam-diam dan buat sahaja, seperti orang Kedah akan kata, "Biaq pi lah".)

Contoh folder-folder gambar itu adalah seperti di bawah.


Subfolder - subfolder ini berada dalam folder bernama "Indonesia".

Saya menyusunnya mengikut tahun, kemudian nama tempat yang dikunjungi. Jadi, jika ada kunjungan ke Indonesia lagi, masukkan sahaja subfolder gambar baru itu di sini. Mungkin tempatnya serupa dengan tempat yang sebelum ini, tetapi tetap boleh dibezakan mengikut tahun.

Cara ini memudahkan saya yang pelupa tahun bilakah saya ke sesuatu tempat itu.

Gambar ini sifatnya mendokumenkan apa yang ada pada waktu kita datang itu. Jika tidak, masakan mungkin Google Maps berkerjasama dengan pendaki gunung bagi menangkap gambar Google Street View di Mont Blanc, gunung putih bersalju antara tertinggi di Pergunungan Alps di Perancis.

Bolehlah rasa-rasa mendaki gunung selepas ini dari skrin komputer sahaja.

Waida Yusof,
27 Januari 2015
KL

PS: Hari ini saya bekerja separuh hari sahaja, jadi boleh update blog :)

PSS: Oh ya, sekali-sekala, gambar yang kita ambil itu tiada kategori, misalnya gambar telefon lama saya. Saya gunakan folder bernama "Pelik-pelik" untuk gambar-gambar kategori itu. Bolehlah tiru jika mahu.

December 4, 2015

Tribute buat Si Beg Merah

Hari ini ada rasa sedikit sayu.

Mungkin bukan sayu, namun lebih kepada rasa melankolik, iaitu rasa 'terkenang-kenang pada barang yang sudah tidak ada'.

Barang yang menyimpan memori kembara sejak sembilan tahun lalu.

Ada rasa berat mahu melepaskan, namun kadangkala melepaskan itulah yang lebih baik.

Baiklah, sebenarnya barang yang tidak ada itu, bagpack sahaja.

Bagpack teman setia seorang pengembara

Tiada apa yang istimewa pun dengan bagpack ini. Lusuh dan plastik di dalamnya pun sudah melekit-lekit. Setiap kali mahu guna pun, hamba jadi syak wasangka. Was-was adakah lekitan itu akan berpindah ke pakaian hamba.

Namun, beg inilah yang hamba dan Kuzai (teman terbaik hamba) beli bersama-sama saat pertama kali melaporkan diri di tempat kerja. Kedai beg yang kami berdua pergi itu pun sudah tidak wujud lagi.

(Ketara benar antiknya beg ini, bukan?)

Beg itu juga hamba dan Kuzai bawa ketika program induksi selama dua bulan. Itu pengalaman pertama hamba bawa bagpack. Masih terkial-kial mengendong beg besar yang tidak berapa besar itu.

Kemudian, beg itu jugalah yang menemani hamba dan Kuzai saat kami bagpacking berdua ke Perancis, Switzerland dan Sepanyol sebelum teman hamba itu melangsungkan perkahwinan.

Paling lejen pengalaman bersama beg ini adalah ketika kami terpaksa ber"kampung" 4 jam di dalam lif parking di Switzerland, dalam cuaca suhu 1 darjah di luar, gara-gara lapangan terbang dikunci :)

(Siapalah sangka kesemua pintu ke lapangan terbang akan dikunci selepas jam 12 malam? Ceh.. )

Dan kali terakhir membawa si dia tatkala hamba ke Jepun bersama Gee, November tahun lalu. Bersama-sama si dia selama 18 hari di Jepun itu, tidak pernah sekali pun si dia mengecewakan hamba.

Posing terakhir bersama beg ini

Selamat tinggal wahai beg merah Deuter Gobi 35 + 10 L, dan selamat datang wahai beg baru, Si Deuter Oren Act Lite 35 + 10 L.

Maafkan hamba ya, wahai beg merah.

Promosi kempen lupakan barang imitasi dan beli beg original dengan harga diskaun 30% itu sungguh menggugah rasa.

Waida Yusof,
4 Februari 2015
KL

PS: Kejam pula rasanya diri ini apabila difikirkan semula. Oh ya, sebenarnya, semuanya terjadi pada hari Selasa lepas, cuma rasa mahu menulis itu datang hari ini.

PSS: Tidur lewat semata-mata mahu menulis tentang beg, itu sudah tentu something bukan?

PSSS: Rindu pula mahu menulis di sini dengan lebih kerap. Bertabahlah wahai cik blog, sehingga hamba siap menyiapkan manuskrip BBKK Matt (nama baru Mat Biru) nombor dua dan tiga.

November 8, 2015

Kurang RM 5 Ribu Jalan-Jalan 18 Hari Di Jepun (Bahagian 2)

Saya tidak boleh lupa riak wajah hampir semua tuan rumah hostel yang kami menginap di Jepun setiap kali diberi peluang bertanya soalan.

Semuanya berwajah pelik apabila soalan pertama kami adalah "Di mana pasar?"

Sayur-sayuran Segar di Nara
Kredit Foto: Gee

Dan, tujuan utama kepada persoalan inilah sambungan kepada sembilan cara pertama kami mampu jalan-jalan 18 hari di Jepun dengan dana kurang RM 5 ribu.

10 - Masak Makanan Sendiri (Pagi & Malam)

Pagi kami di Jepun bermula dengan sarapan ringkas roti, telur hancur (scramble egg), pisang dan susu. Sekali sekala saya ada membeli yogurt di kedai dan campurkan pisang yang sudah dipotong kecil-kecil ke dalamnya. Apabila ada nasi lebihan semalam, kami goreng nasi itu dahulu sebagai bekalan tengahari. 

Makan maggi pun sedap juga jika dimakan panas-panas

11 - Beli Bahan Mentah di Pasar

Barang wajib beli kami di Jepun adalah buah-buahan, beras, sayur-sayuran, telur, ikan, dan ada juga ikan bilis. Kesemua bahan-bahan mentah ini, kami beli di pasar, atau jika terdesak, di kedai serbanika seperti FamilyMart, Lawson atau 7 Eleven

Harga barang di pasar lebih murah berbanding di kedai serbanika. Namun, apa yang saya suka tentang kedai serbanika di Jepun, mudah berjumpa barang mentah dalam saiz mini. Misalnya, kita boleh membeli satu pek yang berisi 4 biji telur sahaja, berbanding sedozen telur seperti biasa. Beras saiz mini (1 kg) juga kami pernah beli di kedai FamilyMart.

12 - Makan Tengahari di Kedai, Bukan Malam

Di lapangan terbang Osaka, harga semangkuk udon (mi Jepun) lebih kurang 600 yen (= RM21).

Di sebuah kedai makanan India halal di Kyoto pula, satu set makanan (roti nan, sayur dalca/kari, ayam tandoori & air) boleh mencecah 2000 yen (= RM71) sekali hadap.

Roti Nan di Gunung Fuji
Kredit Foto: Gee

Di sebuah hotel yang menawarkan set makan malam halal Jepun yang autentik (lengkap dengan sushi), mudah sahaja kita berjumpa satu set makanan dengan harga 11,000 yen (= RM390).

Ya, memang mahal andai difikirkan tukaran harga yen ini kepada ringgit Malaysia.

Lalu, kami guna pakai tips no 10 bagi mengurangkan kos. Namun, sekali sekala kami tidak terasa mahu masak dan mahu makan di kedai di Jepun. Apa kami buat adalah makan di kedai pada waktu tengahari. Kedai yang kami jumpa di Osaka menawarkan set makan tengahari yang lebih murah berbanding set makan malam. 

13 - Tidur Di Atas Futon (Tilam Jepun) di Hostel

Selama 18 hari di 8 tempat, kami menginap di 8 hostel berbeza dan kos penginapan secara purata adalah 3000 yen (= RM106 ) semalam. 

Hostel dengan gaya Jepun. Dinding kertas, tilam Futon dan tikar Tatami
Kredit Foto: Gee

Harga ini adalah harga untuk satu katil (atau satu tilam), dan bukan satu bilik. Oh ya, di Jepun ada dua jenis katil yang biasa disediakan. Katil yang pertama adalah tilam Jepun, iaitu futon dan biliknya dipasang dengan tikar tatami. Katil jenis yang kedua diletakkan dengan katil normal seperti di Malaysia dan ambillah jenis yang pertama kerana harganya lebih murah.

Katil kayu unik di Kazami Guesthouse di Ise
Kredit Foto: Gee

14 - Tempah Bilik di Hostel Yang Baru Dibuka

Di Hakone, kami menginap di sebuah hostel yang baru dibuka, Hakone Tent. Hostel ini baru dibuka 4 bulan sebelum kami datang. Pada waktu itu, laman web pun belum betul-betul siap, hanya ada sedikit gambar dan emel. Saya pun sudah terlupa bagaimana kami terjumpa hostel ini ketika mencari secara online. Jadi, saya emel mereka dan bertanyakan kos penginapan semalam. 

Hostel baru biasanya menawarkan harga diskaun (saya pernah dapat ketika tinggal di Singapura) supaya ada yang tertarik mahu mencuba. Kelebihan tinggal di hostel baru, servis dari pemilik hostel tip top dan barang-barang di hostel masih dalam keadaan baik dan terjaga. 

15 - Bina Hubungan Baik dan Berhubung Terus dengan Pemilik Hostel

Biarpun ada Agoda atau Booking.com, saya tetap suka hantar emel terus kepada pemilik hostel. Pemilik hostel kecil-kecilan lebih suka kita berhubung terus dengan mereka tanpa orang tengah. Urusan tempahan juga lebih mudah, dan kita dapat mengagak bagaimana sikap pemilik hostel, adakah mesra atau tidak melalui emel yang dikirimkan. Mudah juga mengagak bagaimana penguasaan bahasa Inggeris mereka. Jadi, tinggal di hostel akan menjadi sebuah pengalaman menyenangkan dan selesa.

Kazami Guest House di Ise, hostel yang unik
Kredit Foto: Gee

Andai ada rezeki, kita mungkin mendapat diskaun terutamanya selepas menjadi pelanggan berulang seperti tawaran yang saya dapat ketika mahu ke Shanghai buat kali kedua.

16 - Cari Pakej Untuk Pelancong

Bertanya soalan kepada pegawai di Pusat Sehenti Untuk Pelancong Luar dan Tempatan
Kredit Foto: Gee

Amalkan pergi ke "Tourist Information Center" dan tanya adakah pakej yang menarik untuk pelancong. Minta pendapat pegawai di situ, apakah pakej lawatan tempat-tempat menarik yang sesuai dengan masa yang kita ada. Boleh juga bertanya kepada pemilik hostel kerana kadangkala mereka akan terima kad-kad baucer dari syarikat agensi pelancongan.

Misalnya di Osaka, ada Osaka 1 or 2-Day Pass yang membolehkan kita melawat tempat-tempat menarik sekitar Osaka dengan harga diskaun. Pembelian pass ini juga membolehkan kita menaiki beberapa laluan subway di Osaka secara percuma. Apa yang penting, baca maklumat tentang pass ini dengan lengkap.

17 - Membeli-belah Buah Tangan di Kedai 100 Yen

Cara mudah untuk jimat adalah tidak membeli belah langsung :)

Namun, andai mahu mencari buah tangan juga untuk orang-orang tersayang, belilah barang-barang berciri Jepun di kedai 100 Yen seperti chopstik comel, poskad comel, buku tulis, bekas bento, teko Jepun dan lain-lain lagi. 

18 - Pergi Ke Tempat Pelancongan Yang Percuma

Cari tempat yang tidak memerlukan kos atau hanya kos minima ketika melawat. Tempat-tempat begini sememangnya ada, antaranya,

Bermain-main dengan rusa di Nara = 0 yen.

Di Nara, rusa dibiarkan secara bebas di taman. Ada sahaja rusa melintas jalan di sini
Kredit Foto: Gee
Melawat istana Kyoto = 0 yen.

Dari pintu hadapan istana Kyoto
Kredit Foto: Gee

Melawat ladang Wasabi Daoi di Azumino = 0 yen.

Batas-batas wasabi yang ditanam di dalam sungai yang mengalir
Kredit Foto: Gee

Bermain-main di tengah-tengah sungai di Kyoto = 0 yen.

Kredit Foto: Gee

Melawat tokong-tokong yang banyak di Jepun = 0 yen.

Tokong di Ise
Kredit Foto: Gee

19 - Kerja Sukarela di Hostel atau di Ladang

Tip tambahan namun kami tidak buat adalah bekerja secara sukarela di hostel. Ini dibuat oleh teman sebilik kami ketika menginap di Matsumoto Backpackers. Dia dapat tinggal di situ secara percuma asalkan pada siang hari, dia membantu Brian mengemas bilik tidur, menyapu laman rumah, dan mencuci bilik air.

Kata Brian, pemilik hostel Matsumoto Backpackers, "Sebenarnya ini pertama kali saya buka peluang untuk orang luar membantu saya walaupun selalu ada yang bertanya. Sebabnya, isteri saya sedang sarat mengandung. Jika tidak, saya dan isteri sahaja yang melakukan tugas-tugas di hostel ini."

Perkara ini juga diamalkan seorang wanita dari Hong Kong saat kami bertemu dia di Hida-Takayama, sebuah destinasi Jepun di Gifu Prefecture yang terkenal dengan daging Hida.

Lalu, jangan segan dan tanya kepada pemilik hostel adakah mereka memerlukan tenaga sukarela secara percuma. 

Apa yang penting, biar apa cara kita ke Jepun, asalkan kita menikmati sepuas-puasnya perjalanan kita, seperti kami.

Waida dan Gee menikmati teh Jepun.
Kredit Foto: Gee

Waida Yusof,
8 November 2015
KL

October 29, 2015

Bagaimana Jalan-jalan 18 Hari di Jepun dengan Kurang RM5,000 (Bahagian 1)

"Waida, betul-betul setahun yang lalu kita berada di Jepun sekarang."

Ketika menaiki keretapi syarikat Kintetsu dari Nara ke Ise
Kredit Foto: Gee

Ini semua salah fungsi "On This Day" di Facebook :P

Buat saya dan Gee rindu dan terbayang-bayang kejernihan biru sungai dan biru langit ranah Jepun ini, serta terkenang-kenang susah payah orang tempatan menunjukkan jalan kepada kami yang sering kesesatan.

Sungai yang ditemui ketika berjalan kaki ke Wasabi Farm
Kredit Foto: Gee

Mereka benar-benar menunjukkan jalan, iaitu membawa kita bersama-sama ke tempat yang mahu dituju! (Bukan sekadar bercerita sambil mengawang-gawangkan tangan menunjukkan tempat yang entah di mana dari jauh. Memang buat saya malu dan kagum dengan hospitaliti mereka.)

18 hari berkelana di Jepun itu bermula dari Lapangan Terbang Osaka, kemudian ke Nara, Ise, Hakone, Matsumoto, Takayama, Kanazawa, Kyoto dan akhirnya kembali semula ke Osaka. 

Peta jalan-jalan sendiri ke Jepun selama 18 hari

8 ranah dituju dalam masa 18 hari dengan dana kurang RM5 ribu.

Sebetulnya, begini pecahan kos perjalanan ini.

Tiket kapal terbang = RM762.50
Pengangkutan (selain kapal terbang) = RM1,275.83
Tempat tinggal = RM1,523.03
Internet = RM253.96
Makanan = RM1k

Jumlah = RM4,815.33

Lalu, bagaimana kami melakukannya?

1 - Beli Tiket Kapal Terbang Waktu Promosi 

Untuk perjalanan ke Jepun ini, kami beli tiket setahun lebih awal sewaktu promosi Air Asia yang bertemakan 'seat percuma' itu. Tidak, kami tidak tunggu bersengkang mata awal pagi menghadap komputer untuk tiket percuma itu. Memadailah menjadi antara orang yang pertengahan-awal untuk membeli tiket.

2 - Beli Tiket Pergi dan Balik Bukan Hari Sabtu, Ahad atau Cuti Sekolah

Kami memilih hari Jumaat, 17 Oktober untuk ke Osaka dan pulang ke tanahair pada hari Selasa, 4 Nov. Hari-hari yang kami pilih itu bukan hari biasa untuk orang terbang dan mendarat, iaitu pada hari Sabtu dan Ahad.

3 - Rancang Awal Pembelian Bagasi Kabin & Kongsi dengan Kawan

Selain itu, bagi menjimatkan kos, hanya seorang dari kami membeli bagasi kabin 20kg untuk perjalanan dari Kuala Lumpur ke Osaka. Selebihnya, kami hanya bawa beg belakang bawah 7kg. Kemudian, kami beli bagasi kabin 20kg setiap orang untuk perjalanan pulang dari Osaka ke Kuala Lumpur.

Pemandangan di sekitar Japanese Alps
Kredit Foto: Gee

4 - Beli Awal Makanan dalam Kapal Terbang (jika perlu)

Oh ya, harga tiket itu juga termasuk makanan dalam kapal terbang untuk perjalanan KL - Osaka buat bekalan sarapan pagi sebaik tiba jam 8.25 pagi. Jadi, jimat duit yen kami dari membeli makanan di lapangan terbang pula. RM12 masih mampu milik berbanding semangkuk Udon berharga 600 yen (= RM21)

5 - Rancang Perjalanan Super Awal 

Tiket sudah dibeli, jadi masa merancang laluan perjalanan pula! Kebiasaannya, saya merancang laluan paling lambat 6 bulan sebelum pergi. Sebabnya, tempat tinggal murah dan best (reviu bagus) sudah ditempah orang seawal 3 bulan. 

6 - Pilih Laluan & Bandar yang Berdekatan dengan Tempat Kita Tiba & Balik

Kos paling besar selain tiket adalah pengangkutan dari satu tempat ke tempat seterusnya dalam itinerari. Pilih tempat yang jaraknya paling jauh sekitar 4 ke 5 jam perjalanan (rujuk Google Map) sahaja sehala dari tempat sebelumnya. Kemudian, buat laluan yang mendekatkan kita ke ke lapangan terbang yang kita akan pulang. (Lihat laluan pada peta yang saya kongsikan di atas. Ia membentuk satu bulatan).

7 - Pilih Laluan & Bandar yang Menyediakan Pengangkutan Awam (Bas atau Keretapi)

Suasana tipikal stesen keretapi di Jepun
Kredit Foto: Gee

Apabila jarak maksima adalah 4 ke 5 jam perjalanan, kos pengangkutannya akan masih mampu milik, dan carilah laluan perjalanan yang mempunyai perkhidmatan bas ekspres atau keretapi biasa / henti-henti (seperti keretapi antarabandar KTM atau komuter). Bukan keretapi yang perlu ditempah tempat duduknya (seperti ETS atau ERL) atau bullet train.

Antara syarikat bas yang menawarkan tiket tempahan online adalah Willer Bus Express.

8 - Beli Pas Keretapi dan Maksimakan Penggunaannya

Kami bermula dari Lapangan Terbang Osaka, dan syarikat keretapi yang popular dan luas "jajahan" di pulau Kansai (di mana Osaka terletak) adalah syarikat Kintetsu. Mereka menyediakan pas "Kintetsu Rail Pass Wide" berharga 5,860 yen (= RM208.57), jadi kami maksimakan penggunaan pas ini dengan melawat bandar-bandar di pulau Kansai. 

Pas yang sama, kami gunakan untuk perjalanan menggunakan keretapi antara bandar dari Osaka Namba ke Nara (1 trip) dan Nara ke Ise (1 trip) dan Ise ke Nagoya (1 trip). Jadi, baca betul-betul maklumat yang disediakan pada pas yang kita beli dan maksimakannya!

9 - Jalan Kaki Banyak-banyak / Naik Bas / Kayuh Basikal Ketika Jalan-jalan dalam Bandar

Notis untuk penyewa hostel seperti kami di Nara
Kredit Foto: Gee

Secara purata,
Kos berjalan kaki = percuma
Kos sewa basikal = 500 - 700 yen sehari
Kos naik bas henti-henti = paling mahal & jauh seingat saya tidak lebih dari 2,400 yen sehala.

Sebenarnya, kami banyak naik bas dan menyewa basikal seperti orang tempatan walaupun tidak tahu langsung berbahasa Jepun. Paling dahsyat pun, kami berjalan kaki sejam lebih ketika mencari masjid di Kanazawa. Kemudian, kami angkat bendera putih dengan mencari bas untuk pulang ke hostel dari masjid di Kanazawa itu.

Ketika di Kyoto, tenaga kami pun kalah kepada seorang nenek tua berumur 60 tahun dari Perancis yang menjadi rakan sebilik kami. Beliau berjalan berkilo-kilo meter (rasanya lebih daripada 10km atau mungkin juga 20km) seharian ketika melawat semua (ya, semua) tempat-tempat menarik di kota Kyoto.

Apabila saya bertanya, katanya beliau memang langsung tidak naik bas atau basikal hari itu.

Jadi, kesimpulan saya pada hari itu selepas bertanya nenek tua ini, banyakkan berjalan kaki seperti gaya orang tempatan jika mahu jimat. 

Nanti saya sambung bahagian 2 pula.

Waida Yusof,
28 Oktober 2015
KL

September 6, 2015

Travelog Gadis Backpackers

Selepas pulang dari Miri selepas tinggal di sana 3 bulan, saya bersetuju dengan kata-kata yang saya pernah dengar ini.

Kata-kata itu berbunyi seperti begini,

"Kembara ke tempat baru itu bukan hal yang rumit. Hal yang lebih rumit itu, mahu menyesuaikan kembali diri di tempat asal kita selepas pulang kembali."

Sungguh.

Menyesuaikan diri di Miri itu hanya dalam masa 2 minggu.

Namun, menyesuaikan diri semula di KL itu memakan masa 3 bulan. (Itulah sebabnya saya diam sahaja selama ini heheh.)

Baiklah, azam saya selepas ini mahu menyambung semula penulisan di sini.



Ini gambar ketika berkunjung ke Kanada setahun yang lalu. Betul-betul genap setahun. 

#throwback

Waida Yusof,
6 Sept 2015
KL

Nota: Insya Allah, buku tulisan saya tentang kembara akan dimuatkan dalam 'Travelog Gadis Backpackers'. Buku ini ditulis bersama empat penulis lain. Dengarnya akan dilancarkan pada bulan Oktober. Alhamdulilllah!

(Jika ada yang berminat mendapatkan buku versi bertandatangan, boleh tinggalkan emel dalam ruangan komen.)

May 24, 2015

Falsafah Kereta dari Orang Iban

Terkadang, falsafah-falsafah tentang hidup sering keluar dari mulut orang yang kita tidak jangka.

Misalnya, Uncle si pemandu teksi yang hamba kenali ketika menjadi penduduk sementara di bumi Sarawak ini. Beliau selalu punya falsafah yang mengagumkan dan sering muncul secara tiba-tiba pada pagi-pagi hari.

Kredit Foto: Sinar Harian

Pagi itu, saya bercerita tentang sebuah kereta sewa yang sudah dua kali terlibat dengan kemalangan.

Kemalangan kali pertama, penyewa melanggar papan tanda jalan raya dan mengakibatkan bonet kemek teruk di bahagian tengah. Akibatnya, bonet kereta sewa itu harus ditukar baru sepenuhnya.

Kemalangan kali kedua pula bukan gara-gara penyewa, sebaliknya kes kejadian langgar lari. Ajaibnya, kejadian kali kedua ini melibatkan bonet juga!

Dalam saya berdiam diri, tiba-tiba Uncle berkata, "Sebenarnya, mungkin kereta itu yang ber"masalah"."

"Masalah yang bagaimana pula?" tanya saya.

Lalu, Uncle pun membuka cerita.

"Semasa mula-mula membawa teksi, Uncle gunakan kereta orang lain dahulu. Tiap-tiap bulan, Uncle akan bayar duit sewa kereta kepada pemilik kereta. Namun, pemilik itu tidak pernah simpan duit itu. Duit itu selalu digunakan untuk bersuka ria."

Tambah Uncle lagi, "Setahun membawa kereta itu, lapan kali Uncle terlibat dalam kemalangan. Kemalangan kecil  ada, kemalangan besar pun ada. Semuanya akibat dilanggar orang. Paling teruk, Uncle pernah tidak kerja sebulan sebab kereta sedang dibaiki."

Tidak tahan dengan situasi itu, Uncle pun membeli kereta baru. 

Selepas itu, dengan kereta yang baru, hanya ada tiga kali kemalangan dalam masa beberapa tahun.

Ternyata, memang kereta itu yang ber"masalah".

Selepas itu, kami berdua pun terdiam sambil menuju destinasi.

Waida Yusof
24 Mei 2015
Sarawak

May 10, 2015

Berjalan Seperti Rolf Potts

"It is too fatal to know too much at the outset: boredom comes as quickly to the traveler who knows his route as to the novelist who is overcertain of his plot."

Itu kata-kata Paul Theroux, penulis buku "To the Ends of the Earth."

Kata-kata yang boleh diserap intinya sebagai, "Tahu terlalu banyak dan rasa bosan itu akan segera bertandang, apatah lagi, apabila kita sudah terlebih tahu tentang apa yang akan dibuat."


Kaver buku pertama Rolf Potts
Kredit: Amazon

Ini sebenarnya antara 31 petikan kata-kata yang digemari Rolf Potts, penulis buku "Vagabonding: An Uncommon Guide to the Art of Long-Term World Travel".

Baru lima minit yang lalu saya mengenali Rolf Potts ini selepas menjawab kuiz di blog Anne.


I travel like Rolf Potts !


Rolf Potts
You are a travel legend in the making, with a sense of adventure that will lead to hundreds of fascinating stories. Locals all over the world will give you special nicknames, and almost all of them will be complimentary.


What type of traveler are you?

Take BootsnAll's Travel Quiz to find out.



Ada perasaan mahu sambar pula bukunya, selepas membaca komen ini :)

Kata Tim Cahill, penulis buku "Hold the Enlightenment",

"Potts encourages us to think about travel in a way that has been almost lost. He wants us to wander, to explore, to embrace the unknown and finally, to take our own damn time about it. I think this is the most sensible book of travel related advice ever written."

Waida Yusof,
10 Mei 2015
Sarawak

PS: Bertungkus-lumus menyiapkan manuskrip travel ringkas yang sudah dijanjikan kepada penerbit Jun ini. Manuskrip ini adalah projek penulisan bersama 4 wanita backpackers lain, Insya Allah.